Guan Eng sebak beri ucapan terakhir sebagai setiausaha agung DAP
Lim Guan Eng hari ini menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai Setiausaha Agung DAP selepas memegang jawatan itu selama 18 tahun.
Dalam ucapan terakhirnya kepada Kongres DAP, Lim mengucapkan terima kasih kepada ahli parti atas sokongan mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dia kemudian tunduk hormat kepada perwakilan parti di atas pentas dan disambut dengan tepukan gemuruh.
“Saya bangga kerana saya menyerahkan DAP yang lebih kuat kepada setiausaha agung akan datang kerana DAP kini parti terbesar di Parlimen.
“Saya akan menyokong setiausaha agung baru dan bekerjasama dengan pemimpin generasi baru DAP untuk membina parti kita dan bekerjasama dengan sekutu yang sehaluan untuk Malaysian Malaysia yang lebih baik.
“Kami mahu setiausaha agung baru berjaya supaya parti boleh berkembang,” katanya pada Kongres DAP di Shah Alam hari ini.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pemipin veteran DAP Lim Kit Siang atas sumbangannya. Kit Siang, yang juga bapa Guan Eng, mengumumkan persaraannya daripada politik di kongres itu.
“DAP amat bersyukur kerana kita mempunyai pemimpin generasi pertama Kit Siang masih bersama kita untuk membimbing kita dengan kebijaksanaan dan pandangannya,” kata Guan Eng.
Guan Eng kelihatan menahan sebak ketika bercakap tentang Kit Siang.
Dia juga menggesa ahli parti supaya tidak berkecil hati dengan situasi politik semasa selepas DAP dan sekutu Pakatan Harapan (PH) digulingkan daripada kuasa dan berdepan beberapa siri kekalahan dalam pilihan raya.
“Saya tahu kita kecewa dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan kita kehilangan kuasa dalam kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri selepas kemenangan bersejarah kita dalam pilihan raya umum (PRU) 2018, serta keputusan yang mengecewakan di Melaka, Sarawak dan baru-baru ini di Johor.
“Kita harus ingat bahawa keadaan kita semasa kita menjadi pembangkang sebelum 2008 lebih teruk,” katanya.
Guan Eng berundur sebagai setiausaha agung kerana had tiga penggal yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Bagaimanapun, dia masih akan bertanding jawatan dalam jawatankuasa eksekutif pusat.
Seramai 92 calon bertanding untuk 30 tempat dalam jawatankuasa eksekutif pusat.
Sistem pemilihan DAP mengikut sistem dua peringkat di mana ahli akan memilih 30 calon teratas mereka ke jawatankuasa eksekutif pusat dan bukannya jawatan tertentu.
Tiga puluh teratas yang dipilih kemudiannya akan memilih sesama mereka untuk mengisi jawatan masing-masing dalam parti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai