Skip to main
Logo Malaysiakini

TI-M ingatkan PM - Jangan teruja dengan keputusan PRN Johor, hormati MoU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Transparency International Malaysia (TI-M) mengingatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan daripada menyerah kepada tekanan politik untuk mengadakan pilihan raya awal.

“Masih hangat pilihan raya negeri (PRN) Johor yang dicetuskan oleh mereka yang lompat parti dan pegelutan kuasa, sekarang pula ada pihak yang mendesak agar parlimen dibubarkan segera, sekali gus mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini adalah dengan harapan untuk menjayakan cita-cita politik mereka, sedangkan pada masa ini, negara perlu mengutamakan kebangkitan semula.

“Namun, kegagalan untuk mematuhi MoU akan membawa negara kepada defisit amanah yang besar pada kerajaan bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga di kalangan pemerhati antarabangsa,” kata presiden TI-Malaysia Muhammad Mohan dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata adalah penting bagi pemimpin Malaysia mengambil kira kejadian yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14.

“Negara telah mempunyai tiga perdana menteri dan empat pilihan raya negeri, manakala ekonomi negara merosot selama lebih 2 tahun.

"Malah rakyat Malaysia digesa oleh kerajaan untuk mengeluarkan simpanan persaraan mereka lebih daripada satu kali" katanya.

Dia mengingatkan perdana menteri bahawa walaupun terdapat pelan tindakan nasional, dan pengumuman mengenai komitmen untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa, beberapa reformasi asas telah dipesongkan atau diketepikan dan ditangguhkan berulang-ulang serta tidak dipedulikan oleh beberapa pemimpin negara.

“Demokrasi bukan sekadar pilihan raya dan kempen atau ancaman.

“Parlimen mesti memelihara komitmennya kepada rakyat dan undang-undang yang ingin dipinda sejak pertukaran kepimpinan terakhir dan pemeteraian MoU.

“Pembaharuan utama seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun, undang-undang anti lompat parti dan reformasi parlimen telah dijanjikan tetapi tiada satu pun yang dibentangkan setakat ini.

"Adakah itu semua sandiwara atau lakonan untuk mengelakkan kerajaan daripada tumbang?" soal Muhammad.

Ulasannya itu dibuat susulan desakan agresif supaya pilihan raya umum mengejut diadakan tidak lama lagi lantang bergema pada perhimpunan agung Umno minggu lalu.

Bagaimanapun, selepas ucapan hebat mendesak supaya Parlimen dibububarkan, termasuk oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan, mereka kemudian memberi bayangan bahawa parti itu tidak terlalu tergesa-gesa.

Menurut mereka, kerajaan perlu mematuhi supaya MoU yang menetapkan bahawa Parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 31 Julai perlu dihormati.

Bercakap pada sidang media selepas tamat perhimpunan agung Umno (PAU) 2021, Zahid berkata, terdapat tempoh masa sebelum Ismail Sabri perlu mengumumkan pilihan raya kerana perkara itu masih belum dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti.