Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan desak rangka kerja antidiskriminasi di sekolah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Pendidikan Diversity menyerahkan memorandum kepada beberapa ahli parlimen pembangkang agar menggesa kerajaan mewujudkan rangka kerja nasional bagi antidiskriminasi di sekolah.

Kumpulan itu berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa diskriminasi tidak diterima dalam pentadbiran institusi pendidikan, masih terdapat kelemahan undang-undang dan polisi mengenai diskriminasi di peringkat institusi pendidikan.

"Budaya diskriminasi perlu ditangani dengan segera kerana kesan diskriminasi akan menjadi halangan kepada pembangunan diri pelajar dalam jangka masa pendek dan panjang.

"Pelajar-pelajar yang didiskriminasi akan terjejas secara psikologi dan sosial dalamkehidupan seharian mereka.

"Lama-kelamaan, pelajar akan berasa terpinggir dalam persekitaran sekolah oleh sebab diskriminasi. Hal ini akan menjejaskan prestasi akademik dan memutuskan semangat pelajar untuk membangunkan diri dan sekolah," katanya dalam kenyataan.

Disember lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan sedang menyediakan rangka kerja untuk menangani perbuatan buli di sekolah.

Rangka kerja ini dikatakan akan menguatkuasakan akauntabiliti yang lebih besar terhadap sekolah dan menambah baik mekanisme hukuman.

"Walaupun buli dan diskriminasi adalah fenomena yang berbeza, langkah ini dialu-alukan dan lebih ramai pihak perlu dilibatkan untuk dijadikan satu kejayaan," kata kumpulan itu.

Persatuan itu menambah mereka telah menawarkan sokongan dan kepakaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberi bantuan dalam proses membina mekanisme aduan.

Selain mewujudkan rangka kerja antidiskriminasi, kumpulan itu menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas perkara-perkara berikut:

  • Membincangkan penubuhan sebuah mekanisme aduan khusus untuk diskriminasi yang lebih jelas dalam sistem pendidikan.

  • Membincangkan kerangka tindakan yang sewajarnya terhadap orang yang mendiskriminasi di sekolah, termasuk pentadbir guru dan pelajar.

  • Menubuhkan badan penyiasatan bebas yang menyiasat kebenaran meliputi kes dalam kawasan sekolah, lembaga PIBG, dan juga sektor perkhidmatan awam dalam lingkungan KPM.

  • Mewujudkan Ombudsman Awam KPM (pegawai-pegawai neutral yang biasanya dilantik oleh kerajaan atau parlimen) untuk menyiasat aduan berkaitan KPM.

Kumpulan pendidikan itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada ahli-ahli parlimen termasuk Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah di luar Parlimen hari ini.