Skip to main
Logo Malaysiakini

JPP PKR ingatkan bakal calon, kempen rasmi belum bermula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) mengingatkan anggota parti itu bahawa kempen secara rasminya hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan 8 April depan.

Malah, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata jawatankuasa pemilihan parti juga akan memantau secara dekat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis.

Jelasnya, JPP akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen yang telah dibentangkan, didokumenkan dan dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Namun, lumrahnya dalam mana-mana pertandingan, mereka yang menawarkan diri sebagai bakal pimpinan parti untuk tiga tahun akan datang telah pun memberi indikasi bahawa mereka akan bertanding pada pemilihan kali ini.

"Penyokong masing-masing pula kini sibuk mempromosikan pimpinan pilihan mereka dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media.

"Adalah diperingatkan bahawa kempen secara rasmi hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April 2022," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata JPP tidak bertanggungjawab terhadap kempen yang telah bermula pada masa kini memandangkan ia di luar tempoh berkempen secara rasmi.

Bagaimanapun, katanya JPP memohon supaya bakal calon dan penyokong masing-masing menjaga tatasusila, mengelak dari kempen yang tidak beretika.

"Seperti menyelar peribadi calon atau mengeluarkan kata-kata kesat atau menggunakan perkataan tidak sopan kepada mana-mana anggota, penyokong atau mana- mana pimpinan yang berhasrat bertanding.

"Saya yakin semua anggota adalah insan dewasa serta matang, yang sayang kepada parti dan mahu ianya menjadi suatu organisasi yang bakal hadir sebagai pasukan Parti Keadilan Rakyat yang perkasa dan terus mendapat sokongan rakyat dalam berdepan dengan pilihan raya umum yang ke-15.

"Walaupun Perdana Menteri, Ismail Sabri masih berdolak dalik tentang tarikh sebenar, ia di jangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang," katanya.

Tambahnya, ahli PKR juga turut diingatkan untuk memuat turun aplikasi ‘ADIL apps’ bagi membolehkan anggota mengemas kini maklumat kendiri dan mula mendaftar untuk mengundi secara dalam talian semasa proses pemilihan parti serta memberi persetujuan untuk menjadi Pemilih Atas Talian (PAT).

Pemilihan PKR bagi pemegang jawatan bagi penggal 2022 hingga 2025 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei depan.