'Lakonan unsur lucah tak sepatutnya berlaku'
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary menegaskan lakonan drama yang mengandungi unsur lucah tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan umat Islam.
Katanya keadaan itu berlaku kalau umat Islam itu sendiri tidak mempunyai sensitiviti dan kesedaran terhadap dosa dan maksiat sehingga merasakan ia satu perkara yang biasa.
"Alhamdulillah, saya lihat masyarakat Malaysia sangat sensitif apabila timbul isu ini.
"Ini bermakna kita masih ada kesedaran tentang tanggungjawab seorang Muslim," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas isu klik video drama yang dimuat naik pelakon Zul Ariffin baru-baru ini.
Zul Ariffin pada Jumaat lalu memuat naik sedutan babak yang memaparkan aksi berunsur lucah lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa di akaun Instagramnya.
Perkongsian itu sekali gus mencetus kemarahan orang ramai yang menyifatkan adegan dilakonkan mereka menyerupai babak dalam filem lucah.
Sementara itu Ahmad Marzuk berkata, difahamkan pihak penyiaran juga telah maklum dan akan menyelesaikan isu ini dengan penuh hikmah.
"Sebagai Muslim, hendak berhibur pun ada garis panduannya, jangan sampai orang Islam itu sendiri yang meruntuhkan institusi agama," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai