Pesawat China Eastern bawa lebih 130 penumpang terhempas
Sebuah pesawat penumpang milik China Eastern Airlines yang membawa 132 orang penumpang terhempas di pergunungan selatan China pada Isnin.
Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) melaporkan pesawat terbabit dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou.
Pesawat yang terlibat dalam kemalangan itu adalah pesawat Boeing 737 dan jumlah mangsa yang terlibat masih belum diketahui, lapor stesen TV CCTV.
Pasukan penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian dan setakat ini tiada maklumat mengenai punca nahas terbabit.
CAAC berkata pesawat itu terputus hubungan berdekatan bandar Wuzhou di daerah Teng.
Pesawat terbabit juga difahamkan membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal.
Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat 133 orang di atas kapal itu.
"CAAC telah mengaktifkan mekanisme kecemasan dan menghantar kumpulan penyelamat ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Pegawai penyelamat dilaporkan sebagai berkata pesawat itu telah hancur sepenuhnya.
Kejadian itu turut menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan.
China Eastern Airlines yang berpengkalan di Shanghai antara syarikat penerbangan terkemuka di negara itu yang beroperasi di 248 destinasi domestik dan antarabangsa.
Penerbangan MU5725 dari Kunming ke Guangzhou itu dilapor hilang kelajuan lalu menjunam sekitar jam 2.20 petang waktu tempatan.
Pesawat itu kemudian tidak memberi sebarang isyarat atau data di sekitar Wuzhou.
Pesawat tersebut diserahkan kepada China Eastern Airlines daripada Boeing pada Jun 2015 dan telah beroperasi melebihi enam tahun.
Nota editor: Gambar yang digunakan sebelum ini adalah daripada insiden berbeza. Gambar tersebut telah ditukar untuk mengelakkan kekeliruan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai