Skip to main
Logo Malaysiakini

Farhash tak dipecat dari mana-mana jawatan - Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador tidak dipecat daripada mana-mana jawatan yang dipegang sebelum ini.

"Tidak, dia tidak dipecat (daripada mana-mana jawatan). Hubungan kami baik sahaja," katanya secara ringkas kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa Farhash dipecat sebagai pengerusi PKR Perak pada Disember lalu. Dia turut didakwa sebagai telah diketepikan oleh Anwar.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye menggantikan Farhash sebagai pengerusi sementara negeri Perak, sementara Farhan Fauzi dilantik sebagai setiausaha politik.

Ketika dihubungi, Farhash berkata bahawa dia meletakkan jawatan dan bukan dipecat.

"Saya meletakkan jawatan Disember lalu dan bukan dipecat," katanya.

Ketika ditanya motif berbuat demikian, dia menjelaskan bahawa dia bertindak sedemikian supaya penyertaannya dalam pemilihan parti “tidak memberi kesan” kepada Anwar selaku presiden.

“Saya ingin menumpukan usaha memperkukuh dan memantapkan parti.

"Pada masa yang sama, penglibatan saya dalam pemilihan parti tidak mahu memberi kesan kepada pemimpin lain khususnya presiden parti," katanya.

Pada 7 Feb, mengesahkan akan bertanding di bahagian Gombak, menentang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Mei ini.