Skip to main
Logo Malaysiakini

Akta antilompat parti: Lim minta Annuar baca MOU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berhubung akta antilompat parti yang termaktub dalam perjanjian persefahaman (MOU) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru Lim meminta Annuar agar tidak mengubah fakta berkenaan perkara itu dan membaca MOU tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengelirukan.

“Saya tahu Annuar Musa ni takut nak pilihan raya umum (PRU) kerana bimbang tidak akan diberi surat watikah bertanding mewakili Umno kerana memberontak lawan presiden partinya sendiri.

“Tetapi janganlah kerana takut tak dapat bertanding, sehingga nak ubah fakta dan membelakangkan kebenaran.

"Tolonglah baca MOU yang ditandatangani antara pemimpin PH dan perdana menteri anda sendiri,” katanya di Facebook.

Dia dipercayai merujuk kenyataan Annuar semalam yang meminta DAP jangan "mengelirukan rakyat" mengenai kandungan MOU tersebut, kerana katanya, kerajaan tidak akan tunduk dengan segala ugutan daripada mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

Annuar berkata demikian merujuk kenyataan Lim pada Sabtu bahawa MOU itu akan berakhir sekiranya rang undang-undang (RUU) antilompat parti tidak diluluskan dalam tempoh masa yang dipersetujui sebelum ini.

Apa makna MOU

Untuk rekod tuntutan akta berkenaan bukan saja dituntut oleh pembangkang malam sesetengah tokoh dalam Umno sendiri.

Lim memaklumkan DAP akan mendapatkan kepastian daripada kerajaan berhubung tarikh muktamad pembentangan RUU berkenaan di Parlimen.

Annuar yang merupakan Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU itu berkata, selain cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan undang-undang berkaitan antilompat parti yang belum dilaksanakan, sehingga kini 80 peratus lagi perkara dalam MOU berkenaan telah dan sedang dilaksanakan.

"Ingin saya jelaskan, persefahaman ini berdasarkan komitmen dan keikhlasan tapi kalau DAP cuba mengugut, saya ingin tegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan mana-mana ugutan," Annuar dilaporkan berkata.

Mengulas lanjut, kata Lim, akta berkenaan penting untuk menghapuskan 'katak politik' yang mengkhianati mandat rakyat dengan melompat ke parti lain semata-mata kerana tawaran jawatan dan dana kewangan.

Katanya, ia meracuni keyakinan awam ke atas sistem demokrasi dan melanggar prinsip dan nilai moral.

Jelas Lim, telah dinyatakan secara hitam putih dalam MOU berkenaan bahawa RUU antilompat parti hendaklah dilaksanakan tidak lewat dari mesyuarat pertama Parlimen tahun 2022, iaitu pada mesyuarat Parlimen bulan Mac.

“Menteri (Annuar) tahu bahawa sekiranya janji perdana menteri dan kerajaan Malaysia secara hitam putih pun tak boleh dipercayai, apa makna MOU yang ditandatangani?

“Bila perdana menteri yang pecah (memungkiri) janji MOU, bukankah MOU akan terbatal? Wahai Menteri yang gagal melaksanakan janji MOU, berusahalah menyempurnakannya dengan segara.

“Kalau tidak, dan MOU terbatal, anda harus bertanggungjawab penuh ke atas segala implikasinya,” kata Lim yang turut mengepil salinan MOU yang menyatakan soal tarikh pelaksanaan undang-undang berkenaan.