KJ ingatkan Najib ada kompaun belum dibayar
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kompaun terhadap veteran DAP Lim Kit Siang sudah dikeluarkan.
Sehubungan itu katanya Kementerian Kesihatan (KKM) berharap bekas perdana menteri Najib Razak juga membayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor yang masih belum dilunaskan.
"Kompaun sudah dikeluarkan kepada Lim Kit Siang.
“KKM juga harap Najib bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle," katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Ciapan itu sebagai respon kepada laporan Malaysiakini susulan Najib mempersoalkan mengapa Lim tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti ketika Kongres DAP pada hujung minggu lalu.
Meskipun mendoakan supaya anggota parlimen Iskandar Puteri itu cepat sembuh, Najib sempat membidas Lim kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila berpelukan selepas pengumuman untuk bersara daripada politik pada acara berkenaan.
Sementara itu Khairy berkata KKM juga berharap Najib menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawainya enggan menerima sebelum ini.
‘Kenapa kompaun Kit Siang seorang?’
Respon Khairy itu kemudiannya mendapat reaksi segera Najib yang tampil mempersoalkan apakah hanya Lim sahaja yang dikenakan kompaun tersebut.
"Kit Siang seorang saja yang kena kompaun? Itupun satu kompaun berjumlah RM1,000 yang dikeluarkan semalam.
"Tapi yang berpeluk itu adalah berpuluh orang?" ujarnya dalam hantaran di Facebook sambil menjelaskan dia akan membayar lima kompaun yang dikenakan terhadapnya.
Dalam perkembangan terbaru, Najib dan Lim masing-masing memuat naik resit bayaran kompaun di Facebook.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai