Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan masih mahu perinci definisi lompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isu ahli yang dipecat kerana menentang ketua parti antara contoh aspek yang perlu diperhalusi dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin.

Katanya, kerajaan perlu meneliti dan memperincikan RUU tersebut agar definisi tepat berhubung terma "lompat parti" dapat diberikan.

Hanya selepas itu, katanya, RUU tersebut dibentang untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

"Saya beri contoh, seseorang dipecat daripada parti, tidak boleh ke parti lain. Selain itu, hak ahli untuk mempunyai ketegasan dalam parti adalah sesuatu yang patut diambil kira.

"Misalnya, bila ahli parti tidak berpuas hati dengan pimpinan parti yang melakukan perkara salah, dia bertegas dan lawan sehingga dia dipecat.

"Apakah ia juga dianggap tidak boleh pergi ke parti lain? Apakah itu juga dianggap sebagai lompat parti?" katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan pembangkang agar RUU Anti Lompat Parti dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022, iaitu pada bulan ini.

Menurut pembangkang ketetapan itu sudah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dengan Pakatan Harapan pada Sept lalu.

Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata, RUU berkenaan perlu mengetengahkan definisi lompat parti yang boleh diterima semua pihak bagi mengelak isu berbangkit pada masa depan.

Bekas ahli parlimen Umno itu menjelaskan, ia perlu diperincikan menerusi beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan pimpinan utama sesebuah parti.

"Jadi inilah perkara terperinci patut diambil perhatian. Itu satu contoh, ada banyak lagi contoh lain," katanya dipetik sebagai berkata.