Skip to main
Logo Malaysiakini

MP pembangkang, k'jaan terus desak bentang RUU antilompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Lebih ramai penggubal undang-undang menekan kerajaan agar segera membentang dan membahaskan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dalam persidangan Dewan Rakyat sesi ini yang akan berakhir Khamis.

Gesaan itu datang daripada wakil rakyat kerajaan serta pembangkang semasa membahaskan RUU perbekalan tambahan, secara khususnya tambahan sebanyak RM67,721,300 untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata undang-undang antilompat parti mesti dibentangkan untuk dibahaskan terlebih dahulu dan sebarang pindaan bolehlah dibuat kemudian.

“Dalam apa bentuk sekalipun mesti masuk dalam dewan dulu. Kalau ada apa-apa kita boleh tweak (ubah).

“Mari kita (bentangkan) RUU itu di dewan dahulu, bahas. Kalau nak buat pindaan di peringkat jawatankuasa ke, buatlah,” kata wakil rakyat dari Umno itu.

Nazri Aziz

Tambah Nazri dia yakin semua ahli parlimen akan memberikan sokongan kepada RUU tersebut kecuali "katak" merujuk kepada ahli parlimen yang sudah melompat parti.

"Mereka itu minoriti... majoriti akan sokong,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata RUU antilompat parti itu memerlukan penelitian lanjut sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pentadbiran di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika ini terdiri daripada ahli-ahli parlimen yang melompat dari Umno ke Bersatu selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu, serta yang melompat dari PKR bagi menyertai Bersatu semasa Langkah Sheraton 2020.

Sejak itu, telah berlaku empat kali pilihan raya negeri - Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor - semuanya menunjukkan trend keluar mengundi yang merosot.

Sementara itu Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam perbasannya menyalahkan BN dan PN untuk Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Apa yang berlaku itu, kata ahli parlimen Kota Raja berkenaan, sekali gus menghakis kepercayaan umum terhadap amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Mahu turun jalan raya dulu

Katanya penguatkuasaan undang-undang antilompat parti dilihat sebagai penyelesaian yang dapat memulihkan amalan demokrasi di Malaysia.

Cukup terkenal kerana mengepalai pelbagai protes penting, termasuk menjadi tokoh di barisan hadapan semasa perhimpunan Bersih bagi menuntut reformasi pilihan raya, Mohamad memberi amaran bahawa rakyat boleh sekali lagi turun ke jalan melainkan undang-undang berkenaan dikuatkuasakan.

“Sebab kita lihat kadangkala apabila kita bercakap di parlimen ia tidak dipedulikan.

“Barangkali mereka mahu seperti dulu ratusan ribu rakyat turun ke jalan raya, barulah mahu dengar suara rakyat,” katanya.

Ahli-ahli parlimen lain yang membahaskan peruntukan tambahan untuk SPR termasuklah Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Selain undang-undang antilompat parti, Ahmad turut mencadangkan agar pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dihadkan hanya kepada maksimum dua penggal.

Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah sebelum itu membentangkan Akta Perbekalan Tambahan (2021) 2022 untuk menggunakan sejumlah RM8,413,567,300 daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk pelbagai perbelanjaan tambahan yang tidak diperuntukkan sepenuhnya oleh belanjawan persekutuan sedia ada.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan PH akan berakhir sekiranya undang-undang antilompat parti tidak diluluskan dalam kerangka masa yang dijanjikan iaitu dalam bulan ini.