Skip to main
Logo Malaysiakini

Sapura Energy: Jangan terpedaya lagi dengan idea ekonomi Najib, kata Rafizi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa cadangan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyelamatkan Sapura Energy Bhd adalah usaha untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan itu bermewah hasil daripada pembiayaan wang rakyat.

Menerusi satu kenyataan, bekas ahli parlimen Pandan itu, berkata wang rakyat sebegitu besar jumlahnya itu lebih baik dibelajakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya.

“Saya akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib Razak,” kata Rafizi sambil menambah bahawa idea sedemikian adalah "songsang.

Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR

Anak syarikat konglomerat Kumpulan Sapura, Sapura Energy mencatatkan kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, Sapura Energy mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.

Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah diberikan notis petisyen penggulungan awal bulan ini.

Ketika berita ini ditulis, saham Sapura Energy diniagakan pada 3.5 sen, jatuh daripada paras kemuncaknya iaitu RM4.98 pada 2013.

Semalam, Najib berhujah bahawa dengan membiarkan Sapura Energy muflis akan menyebabkan kerugian RM4 bilion kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) - dana amanah yang dikawal oleh kerajaan.

Pada September 2018, PNB meningkatkan pegangannya dalam Sapura Energy kepada 40 peratus, meningkat daripada 12.16 peratus. Ketika itu, pengerusi Kumpulan PNB adalah Zeti Akhtar Aziz manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya pula adalah Abdul Rahman Ahmad.

Abdul Rahman Ahmad, Bekas CEEO PNB

Jika Sapura Energy tumbang, Najib, berkata, maka ia akan terpaksa untuk dijual dengan harga paksaan ataupun firesale price. Namun katanya, memandangkan aset-aset Sapura adalah amat khusus bagi sektor minyak dan gas, nilainya juga tinggi dan dia yakin syarikat itu akan dibeli oleh syarikat asing yang akan mengambil kesempatan masalah tersebut.

Menurut bekas menteri kewangan itu, bank-bank tempatan juga terdedah kepada kerugian RM10 bilion hasil dari jumlah pinjaman Sapura.

Justeru, Najib mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi soft loan atau pinjaman mudah kepada Sapura ataupun mengarhkan Petronas supaya mengambi alih syarikat berkenaan.

Rafizi berkata, walaupun dirinya bersimpati dengan nasib kakitangan di Sapura Energy, namun, adalah tidak adil untuk menggunakan berbilion-bilionwang rakyat demi untuk menyelamatkan beberapa tokoh korporat.

“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu,” katanya.