Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan negeri mesti bertanggungjawab jika pemaju mengelak EIA'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata kerajaan negeri mesti bertanggungjawab terhadap pemaju yang mengeksploitasi kelemahan prosedur yang membolehkan mereka tidak mendedahkan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenai sesuatu projek.

Ini dilakukan dengan membahagikan projek besar kepada projek bersaiz sederhana, kerana perundingan awam tidak diperlukan untuk projek melibatkan 100 hingga 500 hektar.

“Percubaan sedemikian untuk mengelak proses EIA bukanlah perkara baru. Kerajaan negeri mesti bertanggungjawab apabila gagal memastikan manipulasi sedemikian tidak berlaku. Tiada alasan untuk kerajaan negeri tidak menyedarinya.

“Meski kita cuba bergerak ke hadapan untuk meminda undang-undang perhutanan untuk menguatkuasakan perundingan mandatori, pada masa yang sama, ruang perundingan sedia ada kita dengan mudah boleh dimanipulasi,” kata presiden SAM Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.

Meenakshi berkata walaupun dia percaya penukaran hutan perlu dihentikan di negara ini, ambang 500 hektar untuk projek perladangan monokultur untuk menjalankan proses EIA dengan penyertaan awam wajib adalah sangat tinggi.

“Semua penukaran hutan dan ladang monokultur mesti dibuat dengan menjalani proses EIA dengan proses penyertaan awam wajib.

“Bayangkan, tinggal bersebelahan ladang pokok balak seluas 459 hektar dan tidak mempunyai hak untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek itu?

“Bagaimanakah masyarakat tempatan boleh menyuarakan bantahan mereka secara berkesan jika kebolehcapaian kepada maklumat adalah sukar? Bagi masyarakat orang asli, keadaan mungkin lebih teruk, malah projek sebegini boleh berlaku di dalam kawasan tanah adat mereka,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan antara projek yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun lalu, ladang hutan mendahului senarai dengan 18 dan kesemuanya adalah projek bersaiz sederhana.

Daripada 18 projek itu, tujuh daripadanya berkaitan dengan Fajarbaru Builder Group Berhad, syarikat senaraian awam yang berakar umbi dalam sektor pembinaan tetapi kemudiannya beralih kepada pembalakan dan perladangan pada 2010.

Fajarbaru mengumpul RM37.4 juta melalui pengeluaran waran pada September tahun lepas, di mana kira-kira RM15 juta akan dilaburkan dalam "perkembangan perniagaan, pembalakan, perdagangan kayu dan perladangan".

Rekod menunjukkan Fajarbaru membersihkan 2723.09 hektar tanah di Hutan Simpan Tekam dan Hutan Simpan Tekai Tembeling melalui anak syarikat atau syarikat milik pemegang saham dan kakitangan.

Ini menyumbang 12 peratus daripada keseluruhan kawasan ladang hutan Pahang untuk 2021. Menurut Jabatan Perhutanan Pahang, terdapat 22,987 hektar tanah ladang hutan tahun lepas.

Walaupun projek berkaitan Fajarbaru berjumlah 3,813 padang bola sepak, laporan EIA mereka tidak perlu didedahkan kepada umum.

Berdasarkan rekod awam yang dilihat Malaysiakini, Fajarbaru secara tidak langsung terlibat dalam beberapa projek ladang hutan di kawasan hutan simpan Jerantut - Tekam dan Tekai Tembeling.

Di kedua-dua hutan, projek perladangan Fajarbaru dibahagikan kepada projek yang lebih kecil dan laporan EIA mereka diserahkan secara berasingan oleh anak syarikat dan sekutunya.

Menurut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekitar) 2015, kawasan projek ladang hutan akan menentukan kategori EIAnya:

  • Projek yang meliputi kawasan kurang daripada 100 hektar (kira-kira 247 ekar) tidak perlu mengemukakan laporan EIA;

  • Projek bersaiz sederhana yang meliputi kawasan antara 100 hingga 500 hektar (kira-kira 1,235 ekar) akan dikategorikan sebagai Jadual 1. Pemaju dikehendaki mengemukakan laporan EIA tetapi tidak perlu membuat publisiti dan mendapatkan maklum balas orang ramai;

  • Projek berskala besar yang meliputi kawasan lebih daripada 500 hektar akan disenaraikan sebagai Jadual 2. Pemaju dikehendaki mengemukakan dan menghebahkan laporan EIA dan mengumpul maklum balas orang ramai.

Pewartaan semula hutan simpan Kuala Langat (Utara)

Sementara itu, dalam kenyataannya, Meenakshi turut menggesa agar hutan Kuala Langat (Utara) diwartakan semula.

“Sehingga kini, Selangor masih belum mewartakan semula bahagian hutan simpan Kuala Langat (Utara), selepas enam bulan berjanji untuk berbuat demikian.

“Baru minggu lepas gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PSHKLU), yang mana SAM adalah ahli, menuntut supaya pewartaan semula dilaksanakan segera,” katanya.

Pada Dis 2021, Menteri Besar Amirudin Shari berkata bahawa kerajaan negeri Selangor menyasarkan untuk menwartakan semula hutan Kuala Langat (Utara) menjadi simpanan kekal menjelang suku pertama 2022.

Bagaimanapun, pewartaan semula itu masih akan meninggalkan sebahagian daripada hutan, yang menurut Amirudin akan disimpan untuk kemungkinan kesinambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang digelar sebagai Seremban Bypass.

Amirudin memberitahu pemberita bahawa dia yakin pewartaan semula itu akan meliputi 90 peratus daripada pelan warta asal.

Negeri Selangor telah menyahwartakan sejumlah 536.7 hektar daripada hutan simpan, termasuk sebahagian yang ia rancang untuk digunakan bagi Jajaran Selatan, dan untuk projek pembangunan.