CIJ kecam siasatan terhadap Zul Ariffin
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam siasatan terhadap pelakon Zul Ariffin berhubung video yang disifatkan mengandungi unsur lucah yang dikongsinya di media sosial.
Zul disiasat selepas didakwa melanggar undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).
CIJ menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menarik balik semua siasatan ke atas pelakon dan kru filem itu.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu berkata bahawa Seksyen 233 - yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM50,000 kerana menyiarkan kandungan menyinggung perasaan yang mengganggu orang lain - adalah "sangat bermasalah” kerana definisinya yang luas disertai dengan hukuman berat.
"Ini jauh melangkaui sekatan sah yang dibenarkan ke atas kebebasan bersuara, seperti mencegah hasutan kepada keganasan atau untuk keselamatan negara," katanya.
Wathshlah menambah bahawa menurut data CIJ, 236 individu terbabit dalam 140 siasatan polis, penahanan dan pertuduhan berkaitan Seksyen 233 CMA.
Dia berkata siasatan terhadap Zul menyempitkan ruang autonomi artistik dalam industri kreatif Malaysia.
“Ia juga menafikan pilihan penonton untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat berhubung pilihan hiburan mereka. Adalah tidak berfaedah kepada orang ramai untuk mana-mana pihak berkuasa untuk menjaga kandungan melalui kepolisan moral, lebih-lebih lagi berpotensi menghukum individu kerananya.
"Penyelesaian mudah untuk ini adalah bergantung pada klasifikasi program di mana-mana program disiarkan, yang akan secara automatik menandakan ia sebagai kandungan matang, justeru membolehkan penonton membuat pilihan mereka," katanya.
Annuar awal hari ini dilapor berkata bahawa Zul sedang disiasat berhubung video itu.
Klip video sedutan drama terbaru berjudul Perempuan Itu menjadi polemik selepas Zul memuat naik video berkenaan di Instagram atas tujuan promosi. Turut muncul dalam drama berkenaan ialah pelakon baru Siti Hariesa
Adegan ‘panas’ dalam video itu mengundang amarah rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam kerana drama itu dimaklumkan akan ditayangkan semasa Ramadan.
Kontroversi itu turut mengundang kekecewaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menuntut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan tegas dengan segera.
Syarikat penyiaran TV3 juga tampil menjelaskan adegan tersebut tiada dalam perbincangan dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak stesen penyiar terbabit.
Mereka juga berpandangan adegan dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi.
Sebelum ini, Zul juga telah membuat permohonan maaf menerusi hantaran Insta Story.
Sementara itu, Wathshlah berkata walaupun penapisan dilakukan atas alasan kesopanan, ia bukanlah tanggapan universal.
"Dalam menggunakan undang-undang yang ketat untuk menapis dan menghukum individu secara berkesan kerana perbezaan ekspresi, kita mungkin cenderung kepada sikap tidak bertoleransi," tambahnya.
“Berhenti menggunakan peruntukan undang-undang regresif sedia ada, seperti Seksyen 233 CMA, untuk menapis dan menyenyapkan suara yang tidak akur.
“Negeri juga mesti menyemak dan menerima pakai moratorium penggunaan sewenang-wenangnya Seksyen 233 CMA, selain bergerak ke arah memansuhkan dan meminda peruntukannya yang tidak jelas mengikut Perlembagaan Persekutuan kita dan piawaian antarabangsa mengenai kebebasan bersuara.
“Bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkepentingan lain untuk lebih memahami dan mentakrifkan penyingkiran kandungan dalam talian dan penapisan sambil mengambil kira konteks tempatan, piawaian komuniti sedia ada oleh syarikat media sosial dan mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa mengenai FOE, kesaksamaan, tanpa diskriminasi dan kepelbagaian,” katanya.
Harian Metro melaporkan, Zul Ariffin dilihat berada di ibu pejabat SKMM pagi ini, dipercayai bagi tujuan memberi kenyataan berhubung video berkenaan.
Ia melaporkan bahawa pelakon itu berada di sana dari 10 pagi hingga 12:30 tengah hari.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai