Skip to main
Logo Malaysiakini

MP gesa subseksyen tahanan 28 hari dalam Sosma tak dilanjutkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menjelang perbahasan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa agar undang-undang itu dimansuhkan.

Katanya, terdapat banyak bahagian dalam Sosma yang menafikan hak asasi tahanan, selain sudah terdapat peruntukan undang-undang lain yang memadai untuk kesalahan yang termaktub di bawah pelaksanaan Sosma.

Perbahasan hari ini dijangka berhubung tempoh tahanan 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Sosma.

Seksyen 4, subseksyen (5) yang menyentuh soal tempoh tahanan 28 hari perlu disemak semula setiap lima tahun dan tidak lagi terpakai kecuali Dewan Rakyat dan Dewan Negara setuju untuk melanjutkannya.

Subseksyen (5) kali pertama dikuat kuasa pada 31 Julai 2012, dan diperbaharui buat pertama kali pada 2017. Ia dijadual luput pada 31 Julai 2022.

Dikuatkuasakan untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akta ini membolehkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa dihadapkan di hadapan majistret, dan setelah didakwa, suspek akan kekal di penjara sementara menunggu perbicaraan di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan, Maria mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhasrat melanjutkan subseksyen itu untuk lima tahun lagi, yang disifatkannya sebagai "menekan dan langkah ke belakang".

Menurut Maria, di bawah Sosma, beberapa kesalahan Kanun Keseksaan dikategorikan sebagai ‘kesalahan keselamatan’ yang mengguna pakai pembuktian dan prosedur perbicaraan berbeza.

“Contohnya, Sosma menafikan perbicaraan adil dan jaminan buat tahanan. Meskipun selepas suspek dibebaskan, pendakwa raya boleh memohon di bawah Sosma untuk tertuduh terus ditahan sementara menunggu rayuan, yang harus dibenarkan mahkamah.

“Jadi kita ada tahanan yang masih di penjara, tanpa sebarang perbicaraan untuk lebih tujuh tahun,” katanya yang pernah ditahan di bawah Sosma pada 2016.

Katanya, akta itu juga tidak mendedahkan saksi kepada tertuduh dan peguam, justeru menyebabkan pemeriksaan balas tidak dapat dilakukan ke atas saksi yang dipanggil memberikan keterangan.

Ia menyulitkan tertuduh untuk mencabar kredibiliti saksi bagi mewujudkan pembelaan yang cukup kuat terhadap pertuduhan ke atasnya, katanya lagi.

“Sosma juga membolehkan ‘sebarang keterangan daripada tertuduh, sama ada secara lisan atau bertulis, kepada mana-mana pihak pada bila-bila masa’ boleh diterima sebagai bahan bukti, tanpa mengambil kira sama ia diberikan di bawah tekanan atau tidak," katanya lagi.