Skip to main
Logo Malaysiakini

Tony Pua aset berharga DAP, kata Loke

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP yang baru, Anthony Loke menyifatkan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua sebagai 'aset berharga' parti itu walaupun tewas dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), Ahad lalu.

Menurutnya, Pua telah menyumbang masa dan tenaga untuk perjuangan parti selama 15 tahun.

"Malam tadi, saya menghubungi Tony Pua untuk bertanya khabar dan memintanya untuk terus memainkan peranan yang penting dalam parti kerana khidmat beliau masih diperlukan.

"Saya amat memahami kekecewaannya. Namun, ini adalah asam garam dalam politik. Usaha kita tidak selalunya mendapat balasan yang setimpal mahupun dihargai. Keputusan perwakilan perlu diterima dengan hati yang terbuka seperti dia nyatakan dalam kenyataannya semalam," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Loke berkata Pua telah ke seluruh pelusuk negara untuk memberi penerangan berhubung 1MDB beberapa tahun lalu, sebelum isu itu difahami oleh orang ramai.

Sudah tentu segala titik peluh Pua dalam isu 1MDB menyumbang sedikit sebanyak kepada kejayaan PH dalam PRU14, katanya lagi.

"Dia juga merupakan seorang pemimpin parti yang sangat komited dan sanggup mengambil tanggungjawab dalam tugasan yang sukar seperti mengetuai projek "Impian" di Sabah dan Sarawak.

"Saya nak menyatakan secara terbuka bahawa Tony Pua adalah 'aset' yang sangat penting kepada DAP.

"Khidmat dan sumbangannya masih amat diperlukan. Saya berharap beliau akan terus membantu parti dan saya untuk menghadapi segala cabaran di depan kita terutamanya PRU15," kata bekas menteri pengangkutan itu.

Pua antara lima pemimpin DAP yang tersingkir daripada barisan CEC pada penggal ini, selain Chong Eng, Ngeh Koo Ham, Zairil Khir Johari dan V Sivakumar.

Mengulas lanjut, Loke berkata dia mengenali Pua secara dekat sejak 2007 lagi ketika bekas pengerusi DAP Selangor itu dijemput untuk berucap di pemukiman parti di Cameron Highlands sebelum menyertai parti itu.

"Dia amat lantang di Parlimen dengan membongkarkan pelbagai isu dan skandal yang melibatkan projek-projek Kerajaan. Saban hari, dia akan membangkitkan pelbagai persoalan di dalam dan di luar dewan.

"Para wartawan di lobi parlimen tidak pernah jemu mendengar sidang medianya kerana setiap kenyataan akhbarnya sarat dengan fakta dan angka yang tepat," kata Loke yang juga anggota Parlimen Seremban.