Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA pula tuntut kerajaan agar bentang RUU antilompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MCA menyertai gesaan daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan supaya Putrajaya membentangkan undang-undang (RUU) antilompat parti di Dewan Rakyat.

Gesaan itu dibuat sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat sekarang akan ditangguhkan.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata kerajaan mesti memperkenalkan dan meluluskan RUU itu secepat mungkin.

"Di sebalik hakikat bahawa pembaharuan dasar signifikan ini memerlukan pindaan perlembagaan, kerajaan harus menunjukkan keazaman dan komitmennya untuk menyelesaikan sebarang isu teknikal yang timbul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam ahli parlimen daripada pihak kerajaan mahupun dari pembangkang menggesa supaya undang-undang baru itu dibentang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata RUU antilompat parti memerlukan "pertimbangan lanjut" sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pentadbiran semasa bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terdiri daripada ahli parlimen yang menyeberang dari Umno kepada Bersatu selepas BN tumbang pada pilihan raya umum 2018, serta mereka yang berpaling tadah daripada PKR kepada Bersatu semasa Langkah Sheraton pada 2020.

Sejak itu, terdapat empat pilihan raya negeri - Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor - dengan keseluruhan menyaksikan aliran menurun dalam peratusan keluar mengundi.

Melaksanakan undang-undang antilompat parti adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (Mou) Putrajaya dengan Pakatan Harapan (PH).

DAP telah mengugut untuk membatalkan MoU tersebut sekiranya RUU itu tidak dibentangkan.

Kepimpinan Umno - yang mendesak supaya pilihan raya umum segera diadakan - telah menyatakan MoU berkenaan harus dipatuhi sehingga akhir Julai.

[Baca berita penuh]