‘RM1,500 permulaan baik, tapi banyak lagi kerajaan kena buat’
Bekas ahli parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj mengalu-alukan langkah kerajaan mengumumkan kenaikkan gaji minimum sebanyak RM300, kepada RM1,500 bermula 1 Mei.
Bagaimanapun, tokoh gerakan kiri itu mengingatkan bahawa jumlah tersebut masih rendah untuk menyara kehidupan.
Dalam temubual bersama Malaysiakini, dia menyeru kerajaan memperkukuhkan perlindungan sosial dan mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim pencen universal.
“Ya, kenaikan sebanyak RM300 adalah permulaan yang baik tapi (angka) tersebut masih jauh untuk menyara kehidupan.
“Beberapa tahun lalu, Bank Negara memaklumkan anggaran perbelanjaan satu keluarga yang mempunyai dua anak bersekolah, yang tinggal di KL memerlukan kira-kira RM6,000 sebulan untuk memenuhi semua keperluan mereka dengan secukupnya.
“Jadi, meskipun gaji minimum baru, RM1,500 itu, digandakan dengan kedua-dua ibu bapa memperoleh pendapatan hanya RM3,000, masih jauh daripada jumlah upah cukup hidup yang dikemukakan Bank Negara,” kata Jeyakumar.
Dia berkata pelaksanakan taraf gaji saksama adalah salah satu daripada dua kaedah utama yang boleh digunakan kerajaan untuk berkongsi kekayaan negara dengan pekerja.
Cara lain, katanya, dengan mengukuhkan jaringan perlindungan sosial, antaranya melalui skim pencen universal.
Katanya, kerajaan boleh memberikan RM300 sebulan kepada semua individu berumur lebih 65 tahun, jika mereka tidak menerima pencen kerajaan atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Ini akan menangani masalah ramai rakyat yang telah bersara, memandangkan simpanan mereka tidak bertahan lebih daripada beberapa tahun selepas berhenti bekerja," katanya.
Sewa rumah PPR RM200 sebulan
Dia juga menyeru kerajaan meneliti rumah mampu milik untuk golongan pekerja.
Katanya, keluarga B40 - 40 peratus isu rumah termiskin - dan keluarga berpendaparan kurang daripada RM3,500 sebulan tidak mampu membeli rumah.
“Percubaan mereka untuk berbuat demikian akan menjejaskan perbelanjaan keperluan asas lain seperti hal berkaitan nutrisi (makanan),” katanya.
Katanya, PSM mencadangkan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk B40 dengan sewaan bawah RM200 sebulan di semua bandar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai