Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanipa: Saya benci Najib, tapi akan bantah kalau dia ditahan Sosma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Meskipun mengakui benci kepada Najib Razak (BN-Pekan), Hanipa Maidin (PH-Sepang) berkata dia tetap akan menjadi orang pertama yang menyuarakan bantahan jika bekas perdana menteri itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Katanya, ini kerana Sosma merupakan undang-undang zalim yang harus bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu ditentang oleh sesiapa sahaja.

“Walaupun saya benci betul Pekan ini kerana telah merosakkan negara, tapi kalau dia ditahan bawah Sosma, saya orang pertama yang akan menentang penahanan itu,” katanya di Parlimen.

Dia berkata demikian ketika membahaskan usul oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk melanjutkan subseksyen 4(5) akta berkenaan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2022.

Subseksyen itu berkenaan tempoh tahanan 28 hari di bawah Sosma. Ia membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa dihadapkan di hadapan majistret, dan setelah didakwa, suspek akan kekal di penjara sementara menunggu perbicaraan di bawah Kanun Keseksaan.

Seksyen 4, subseksyen (5) itu mesti disemak semula setiap lima tahun dan akan tidak lagi terpakai, melainkan kedua-dua Dewan Parlimen bersetuju untuk melanjutkan tempoh berkenaan. Ia dijadualkan luput 31 Julai ini, jika tidak dilanjutkan.

Terdahulu, Khalid Samad (PH-Shah Alam) mencelah ucapan Hanipa dan mempersoalkan kewajaran apabila orang yang belum terbukti bersalah boleh ditahan selama 28 hari tanpa perlindungan dan pengiktirafan hak.

Sedangkan, kata Khalid, orang yang sudah terbukti bersalah di mahkamah masih bebas ke mana-mana disertai pengiring, meskipun telah melakukan jenayah besar yang merosakkan negara dan ekonomi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataan itu jelas merujuk kepada Najib yang telah disabitkan bersalah atas kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Kata Hanipa, Sosma adalah undang-undang yang zalim, sedangkan Islam mementingkan keadilan diberikan kepada semua, meskipun kepada orang yang dihadapkan dengan pertuduhan.

Dia turut membidas Hamzah - yang menyatakan pelaksanaan Sosma itu selari dengan maqasid syariah - bahawa menteri itu tidak faham konsep maqasid syariah, serta tidak faham dengan Sosma.

“Baca buku ulama terkenal.

“Bacaa kitab Arab. Kalau tak faham, boleh tanya ustaz-ustaz PAS,” katanya kepada Hamzah.

Perbahasan akan disambut pada sesi sebelah petang.