Skip to main
Logo Malaysiakini

Zaid: Kit Siang berhak diberi pengiktirafan tapi Umno takkan rela

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas Lim Kit Siang mengumumkan keputusannya untuk bersara dari dunia politik, semalam Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim membuat gesaan agar kerajaan memberikan penghargaan kepada veteran DAP berkenaan.

Lim, 81, menghabiskan lebih daripada separuh abad masanya bergelumang dalam politik.

Saranan Rais itu hari ini mendapat sokongan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.

Kata Zaid, Lim wajar dianugerahkan pangkat yang membawa gelaran Tan Sri - sama seperti anugerah diterima pengasas Gerakan, Tan Chee Koon.

"Sudah tentu cara keras dan menyerang Lim dalam langkah politiknya berbeza daripada Tan dan menyebabkan Melayu marah, tapi saya percaya dia bukan seorang ahli politik yang anti-Melayu atau anti-Islam.

“Lim bertindak balas terhadap politik yang mendahulukan Melayu oleh Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Politik Melayu/Islam mesti mula melihat politik bukan dari segi perkauman.

“Sumbangan tunggal Lim kepada demokrasi berparlimen adalah, tanpa sebarang keraguan, sesuatu yang kukuh dan kita harus mengingatinya untuk itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiada pemimpin kuat

Sepanjang tempoh aktif dalam politik, Lim pernah dipenjarakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987. Dia - sekali gus DAP - juga sering dilabel sebagai mengancam orang Melayu dan Islam.

Malah ada pihak yang menyalahkan atas rusuhan 13 Mei 1969 selain melabelnya sebagai komunis.

Lim menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan ia adalah sebahagian daripada rancangan jahat politik untuk menyemai rasa tidak percaya dan kebencian dalam kalangan pengundi Melayu.

Ditanya pandangannya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan dibuat Rais, Zaid kelihatan tidak optimistik ia akan diterima.

Kata bekas ahli parlimen Kota Bharu itu, walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin mempertimbangkan untuk memberi penghormatan kepada Lim, kumpulan kanan dalam Umno akan melakukan apa saja yang termampu untuk menghalangnya.

"Umno tidak mempunyai pemimpin yang kuat buat masa ini untuk mengatasi emosi perkauman parti," kata Zaid.

Menariknya, Zaid mendakwa bekas perdana menteri Najib Abdul Razak akan menjadi pemimpin tunggal Umno yang berani memberi pengiktirafan kepada Lim.

Kata Zaid sepanjang tempoh menjadi perdana menteri, Najib membuat pemimpin Umno berang dengan pendekatan inklusifnya dan keputusan untuk membatalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang zalim.

“Tetapi (isu) Jho Low dan ramai dalam kalangan kita mengutuk dia (Najib) atas skandal 1MDB,” tambahnya.

Sementara itu, Lim Lip Eng, juga bersetuju bahawa Lim layak diiktiraf atas usahanya dalam politik.

Kata Ahli Parlimen Kepong itu veteran DAP berkenaan berjuang untuk menjadikan Malaysia lebih baik dan berpolitik tanpa didorong sebarang keinginan mendapatkan ganjaran.

“Lim (Kit Siang) tidak pernah meminta pengiktirafan atau gelaran daripada kerajaan malah dia menolak tawaran seperti itu daripada kerajaan negeri.

"Dia melakukan apa yang dia lakukan kerana prinsip," tambahnya.