'PH tak langgar MOU dengan tolak usul subseksyen Sosma'
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan kegagalan usul kerajaan berkaitan Sosma mendapat sokongan di Dewan Rakyat hari ini tidak bermakna pembangkang melanggar perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan.
Loke merujuk usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang gagal mendapat sokongan mencukupi dalam undian belah bahagi di parlimen petang tadi.
Loke berkata, selepas undian usul tersebut, dia bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Presiden Amanah Mohamad Sabu telah bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menjelaskan bahawa usul tersebut bertentangan dengan pendirian PH.
Ini kerana menurutnya, PH akan memberikan sokongan penuh kepada dua usul dan rang undang-undang yang diperincikan dalam MOU antara PH dan kerajaan.
“Dalam usul Sosma ini, tidak ada apa-apa rundingan dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan pada hari ini.
“Jadi kita bebas mengambil pendirian kita dan itu memang konsisten dengan pendirian kita bahawa Sosma itu perlu bagi dilihat kembali dan dikaji semula,” katanya dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Terdahulu, usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Sosma telah gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat, apabila hanya 84 ahli parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju dalam proses undi belah bahagi tersebut. Manakala 50 orang lagi ahli parlimen tidak hadir.
“Saya nak bagitahu di sini, ini tidak bermaksud kita telah melanggari MOU kita antara PH dengan kerajaan kerana usul berkenaan Sosma ini ataupun usul-usul lain ini dia tak ada berkaitan dengan MOU.
“MOU di antara PH dengan kerajaan ialah hanya dua perkara sahaja yang kita akan mengambil pendirian berkecuali ataupun tidak menyokong iaitu untuk belanjawan tahunan dan juga usul undi percaya terhadap yang amat berhormat perdana menteri.
“Jadi selain daripada dua perkara ini, yang kita perlu rundingkan bersama sekiranya ada apa-apa usul atau RUU ini, maka untuk semua RUU atau usul-usul yang lain perlulah dirundingkan dengan kita terlebih dahulu,” katanya.
Menyifatkan kegagalan melanjutkan usul tersebut sebagai satu sejarah yang luar biasa dalam Dewan Rakyat, Loke menekankan bahawa ahli-ahli parlimen pembangkang bertindak sedemikian kerana ia adalah hak mereka sebagai ahli parlimen.
“Tetapi MOU kekal. Tapi syaratnya itu adalah apa yang dijanjikan itu mesti dibawa oleh kerajaan dan kita menaruh harapan bahawa perdana menteri akan menunaikan janjinya untuk membawa pindaan perlembagaan pada bulan Ramadan ini.
“Jadi kita harap itu akan berlaku dan kita akan berikan sokongan penuh,” katanya.
Tambahnya, pembangkang juga akan memberikan komitmen untuk memberikan sokongan terhadap RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengecualikan nama-nama kerabat diraja, sultan-sultan dan juga pewaris-pewaris raja daripada tersenarai di daftar pemilik, yang dijangka akan dibawa esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai