Skip to main
Logo Malaysiakini

Tempoh tahanan antara punca pembangkang tolak usul kerajaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Rata-rata ahli parlimen yang membahaskan usul melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - menekankan isu ketidakadilan.

Misalnya tempoh penahanan suspek selama 28 hari tanpa perlu dibawa ke mahkamah, isu jaminan serta kemungkinan berlaku salah guna kuasa.

Pihak yang menyokong bersetuju berhujah - antara lain - dengan membangkitkan soal keperluan subseksyen berkenaan dalam menyiasat dan mencegah jenayah keselamatan seperti kumpulan pengganas, penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia dan jenayah terancang.

Mereka turut memetik contoh kes keganasan yang dapat dicegah melalui Sosma pada masa lalu.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), berkata kebimbangan terbesar pembangkang ialah ruang untuk berlakunya salah guna kuasa dalam tempoh 28 hari seseorang itu ditahan tanpa membabitkan kuasa mahkamah.

Katanya seorang suspek sepatutnya boleh ditahan mengikut prosedur biasa melalui Kanun Prosedur Jenayah, dan jika polis berasakan ada kebimbangan dari aspek keselamatan, tempoh tahanan yang lebih munasabah boleh dipertimbangkan iaitu antara 48 hingga maksimum 72 jam.

“Tapi tak rasional untuk lanjutkan (penahanan) sehingga hampir sebulan,” katanya.

Wajar diberi akses

P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula membangkitkan soal penahanan empat ahli DAP - termasuk dua Adun - yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada 2019 sebagai contoh bagaimana peruntukan itu boleh digunakan untuk kepentingan politik pemerintah.

Kata Khoo, mereka ditahan selama 135 hari sebelum dibebaskan pada Feb 2020, namun seorang daripada mereka masih menganggur sehingga hari ini kesan penahanannya berkenaan.

“Ibunya sakit, setiap bulan perlu ke hospital, anak OKU [...] Dia akan bawa nama yang tak sepatutnya (dikaitkan) bahawa dia pengganas, sedangkan dia bukan pengganas. Sebab itu kita mesti tolak usul zalim ini,” kata Khoo.

Sementara itu Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) - yang menyokong usul berkenaan - berpendapat penahanan lebih dari tempoh yang diperlukan sebagai hal yang tidak boleh disokong.

Malah dia menganggap tempoh 28 hari yang terpakai dalam kes-kes Sosma adalah memadai.

Nazri Aziz

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang turut menyokong pula, bagaimanapun berpandangan suspek wajar diberikan akses kepada peguam selaras dengan prinsip “seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

Petang tadi hasrat kerajaan mahu melanjutkan subseksyen 4(5) Sosma tidak kesampaian apabila usul yang dibawa itu gagal mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat.

Semasa proses undian belah bahagi dibuat 86 ahli parlimen menolak berbanding 84 menyokong. Lima puluh lagi ahli parlimen tidak hadir.

Dengan kegagalan itu, peruntukan yang terkandung dalam subseksyen tersebut tidak lagi boleh digunakan selepas ia luput pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun kerajaan sebenarnya masih boleh membentangkan semula usul berkaitan subseksyen berkenaan pada masa mereka yakin mempunyai sokongan cukup dalam parlimen.

Hamzah Zainudin

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika berucap selepas perbahasan mengakui ada beberapa perkara yang harus diperhalusi dan ditambah baik dalam akta berkenaan.

Namun Ahli Parlimen Larut itu menegaskan subseksyen tersebut diperlukan bagi memastikan kelancaran penyiasatan pihak berkuasa.

Dia juga memberikan jaminan bahawa di bawah perkhidmatannya, akta itu tidak akan disalah guna untuk tujuan politik, bahkan menegaskan terdapat satu peruntukan khusus dalam Sosma bagi mencegah perkara berkenaan.

Kata Hamzah, kes-kes yang ditangani di bawah Sosma selalunya rumit yang memerlukan masa penyiasatan yang lama, sekali gus memerlukan masa yang diperuntukkan subseskyen berkenaan.

“Ada masanya kita (boleh) bincang lebih lanjut. Buat hari ini, saya minta kita beri polis waktu mengikut subseksyen yang kita minta ini.

“Selepas itu tak salah kita semak semula. Tapi yang penting, semakan semula itu (harus) dilakukan menyeluruh dan komprehensif, juga (melibatkan) seksyen-seksyen lain supaya tak ada salah guna,” katanya.