Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan dah hilang asas moral untuk terus memerintah - Nazri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata kerajaan telah hilang asas moral untuk terus memerintah apabila tewas dalam undian belah bahagi berkaitan subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam. 

Katanya, meskipun belum ada duluan, mengikut amalan demokrasi yang diamalkan di United Kingdom, sekiranya kerajaan kalah dalam mana-mana usul atau rang undang-undang (RUU), jalan yang betul adalah untuk “kembali mendapatkan sokongan daripada pengundi”. 

Walaupun menerima penjelasan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa pembangkang tidak melanggar memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan apabila tidak menyokong usul itu, kata Nazri, “politik juga adalah tentang persepsi”. 

Di mata rakyat, kata ahli parlimen Umno itu, kerajaan Keluarga Malaysia yang sepatutnya memiliki majoriti, telah kalah dalam undian usul, tidak kiralah apa pun sebab di sebaliknya. 

“Faktanya, kita kalah usul. Jalan yang betul sekarang adalah kembali kepada rakyat, iaitu kita mempunyai alasan sekarang untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU). 

“Ini bukan keputusan saya, ini keputusan parti saya. Kalau mereka fikir mereka harus kembali kepada rakyat untuk meminta pengundi memilih (kerajaan baru), itu hak mereka. 

“[...] Pada saya, dalam soal ini, kami telah kehilangan asas moral untuk terus menjadi kerajaan. Jadi saya serahkan kepada parti saya untuk membuat keputusan,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua orang berkongsi pandangan dengan Nazri.

Pemerhati parlimen Ong Ooi Heng antaranya berkata kerajaan tetap bertahan kerana usul semalam hanya usul biasa.

Ong berkata, berdasrkan konvensyen dalam sistem Westminster, kerajaan hanya tumbang jika usul keyakinan dan perbekalan atau belanjawan tidak lulus.

‘Keadaan dah berbeza’

Nazri sebelum ini menentang tuntutan supaya pilihan raya umum disegerakan.

Bagaimanapun hari ini pendiriannya berubah kerana “keadaan sudah berbeza”. 

“Tapi hari ini saya tiada asas moral untuk berdiri di sini dan mengatakan bahawa kita tak perlu membubarkan parlimen. 

“Pada pandangan saya, sukar untuk kami berdiri di sini hari ini untuk terus mentadbir kerajaan kerana kita telah hilang asas oral, dan kita telah kalah usul,” katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan raja-raja dan kerabatnya daripada daftar pemilih pilihan raya. 

Nazri menjadi tokoh Umno terbaru mengubah pendirian, selepas semalam Annuar Musa berkata MOU telah terbatal, susulan pembangkang menolak usul itu.

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, terdapat desakan yang ketara bagi menuntut PRU15 disegerakan, rentetan daripada kemenangan berturut-turut BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor. 

Namun, ahli Umno yang menjadi ahli kabinet dalam kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, dilihat tidak cenderung pada gesaan itu.

Setakat yang diumumkan dalam Perhimpunan Agung Umno, tarikh PRU15 dikatakan akan dibincangkan selepas Julai 2022, seperti dipersetujui dalam MOU berkenaan.