Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kurangkan kos pematuhan kalau nak harga rumah lebih murah'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Desakan agar lebih banyak rumah mampu milik di pasaran mungkin menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan harga kepada pemaju, namun langkah itu boleh memakan diri.

Ini kerana data empirikal yang dianalisis Institut Rehda menunjukkan

Ini kerana data empirikal yang dianalisis Institut Rehda menunjukkan kawalan ketat terhadap industri sebenarnya telah menyebabkan syarikat pemaju menaikkan harga rumah bagi menampung kos mematuhi kawalan yang dikenakan.

Institut Rehda adalah badan penyelidik yang berkaitan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Kajian itu, yang menganalisis data daripada syarikat pemaju hartanah, menunjukkan kos pematuhan pada kadar 12.8 hingga 32.5 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV).

Ia termasuklah langkah subsidi silang terhadap projek perumahan mampu milik dengan menaikkan harga projek lain, menampung kos unit bumiputera yang tidak terjual, menyerahkan tanah untuk kemudahan awam serta proses kelulusan yang lama.

Kos pematuhan

Kajian itu menganggarkan kos pematuhan meningkatkan harga perumahan - secara purata - sehingga 16.6 peratus manakala bagi projek perbandaran, harga boleh meningkat sehingga 50 peratus.

“Secara hakikatnya, kos-kos lain juga akan meningkat ekoran inflasi, kehendak pasaran, perubahan pada hala tuju dasar, dan terutamanya kos bahan pembinaan dan tanah. Maka kenaikan sebenar harga mungkin lebih daripada apa yang ditunjukkan,” menurut laporan itu.

Kajian itu malah menyatakan jika kos pematuhan dapat dikurangkan separuh, harga rumah boleh turun daripada sembilan hingga 16 peratus secara purata untuk pembangunan strata dan juga perbandaran.

Ditanya jika pemaju menggunakan penjimatan daripada kos pematuhan lebih rendah untuk meningkatkan keuntungan dan bukannya menurunkan harga, pemegang amanah Institut Rehda Jeffrey Ng berkata ia tidak berlaku atas sebab syarikat pemaju ingin menjual lebih banyak unit.

Katanya, mereka boleh berbuat demikian dengan menurunkan harga, selaras dengan kehendak pembeli.

“Apa saja yang pihak berkuasa lakukan akan memberi kesan kepada kos pematuhan dan ia akan meningkatkan kos perumahan.

“Kerajaan tidak boleh kata nak kos perumahan turun tetapi ubah kos pematuhan,” katanya selepas pelancaran laporan itu di Bandar Sunway, hari ini.

Harga rumah secara purata naik 10 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu, daripada RM217,856 pada 2010 kepada RM428,458 pada suku ketiga 2021.

Purata pendapatan isi rumah pada 2020 pula adalah RM7,089 sebulan, menyebabkan sukar untuk ramai orang memiliki rumah sendiri.

Pada 2019, satu kajian Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan pemilikan rumah menjadi matlamat yang sukar buat kebanyakan rakyat Malaysia ekoran harga yang tinggi.

Ng yang juga pengerusi Rehda berkata lagi, tanggapan bahawa syarikat pemaju mendapat keuntungan yang tinggi adalah salah, memandangkan data yang dikumpul menunjukkan mereka hanya membuat keuntungan tahunan sebanyak lima hingga tujuh peratus untuk projek hartanah.

“Adakah ini keuntungan besar untuk risiko melaksanakan projek hartanah? Jawapannya tidak.

“Jadi kita minta agar pihak berkuasa berunding dengan semua pihak sebelum kenakan (lebih banyak kawalan,” katanya lagi.

Katanya, syarikat sudah pun menampung peningkatan kos tenaga kerja, bahan pembinaan dan tanah yang tidak dapat diturunkan dengan mudah dan bergantung kepada pasaran global.

Namun, katanya, kos pematuhan adalah bergantung kepada pihak berkuasa dan boleh menjadi faktor yang mempengaruhi harga rumah.

[Baca berita asal]