Skip to main
Logo Malaysiakini

2 juta dijangka hilang status 'vaksinasi lengkap' minggu depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua juta rakyat Malaysia dijangka kehilangan status "divaksin sepenuhnya" di aplikasi MySejahtera mulai 1 April, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Angka unjuran ini melibatkan penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas yang gagal mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum akhir bulan ini.

“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, KKM unjurkan bahawa mungkin akan ada 2 juta penerima vaksin Sinovac yang berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata setakat ini, 2.09 juta penerima Sinovac masih belum menerima dos penggalak mereka, yang mungkin menyebabkan mereka kehilangan status "divaksin sepenuhnya".

Khairy berkata hal itu juga selaras dengan Singapura yang hanya mengiktiraf penerima Sinovac sebagai "divaksin sepenuhnya' jika mereka menerima dos penggalak.

"Dengan cara menggalakkan (mereka yang belum menerima dos penggalak mereka), saya bincang dengan menteri kesihatan Singapura, yang juga menganggap vaksinasi sepenuhnya untuk Sinovac adalah tiga dos.

"Jadi jika kamu ingin menikmati perjalanan ke Singapura, tiada kuarantin, maka kamu tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Dia berkata demikian selepas mengumumkan bahawa kuarantin wajib dan ujian bagi pengembara yang menaiki pengangkutan darat antara Malaysia dan Singapura akan dimansuhkan.

Bagaimanapun individu yang melakukan perjalanan melalui udara masih perlu melakukan ujian dua hari sebelum berlepas.

Mereka juga tidak akan dikenakan kuarantin atau ujian sebaik tiba di negara ini.

Tarikh akhir untuk mendapatkan suntikan penggalak untuk warga emas dan penerima Sinovac pada asalnya ditetapkan pada 28 Feb tetapi dilanjutkan sehingga 31 Mac.

Keberkesanan vaksin Covid-19 berkurangan dari semasa ke semasa.

Keberkesanan Sinovac, khususnya, mengalami penurunan mendadak selepas tiga bulan.