Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendekkan kuarantin petugas kesihatan tak bahayakan pesakit - KJ

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa keputusan memanggil petugas kesihatan yang masih dijangkiti Covid-19 untuk kembali bekerja tidak akan menjejaskan keselamatan pesakit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata hal itu dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan di hosptal

Katanya, beberapa langkah keselamatan akan diambil seperti mereka perlu bebas daripada sebarang simptom atau lulus ujian Covid-19, selain memakai peralatan perlindungan (PPE).

"Kita dapati bahawa itu memadai selain daripada PPE yang biasa dipakai di hospital adalah satu perlindungan yang baik bukan hanya untuk doktor tetapi untuk pesakit kita.,” katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan KKM memperkenalkan garis panduan baru yang mengkehendaki kakitangan kesihatan yang positif Covid-19 kembali bekerja awal jika pengarah hospital atau pegawai kesihatan daerah mengenal pasti terdapat "krisis sumber manusia" di hospital masing-masing.

Garis panduan baru itu melibatkan kakitangan kesihatan sama ada dalam Kategori 1 (asimtomatik) atau Kategori 2 (bergejala, tiada radang paru-paru).

Garis panduan baru itu berkuat kuasa pada 21 Mac, kira-kira sebulan selepas KKM melonggarkan peraturan kuarantin dalam kalangan kakitangan kesihatan yang mempunyai kontak rapat Covid-19 bagi mengatasi masalah kekurangan petugas susulan penularan gelombang Omicron.

Petugas kesihatan yang berada dalam kalangan pesakit kategori 2 masih perlu menjalani kuarantin seperti biasa jika mereka demam, positif ujian RTK-Ag pada hari kelima jangkitan atau jika simptom mereka tidak menunjukkan tanda reda.

Bagaimanapun, kakitangan kesihatan kategori 2 yang lain mungkin dipanggil semula untuk bekerja bermula pada hari ke-6 jangkitan.

Kakitangan kesihatan kategori 1 juga mungkin dipanggil semula untuk bekerja bermula pada hari ke-6, tetapi tidak perlu mengambil ujian RTK-Ag pada hari kelima.

Mereka dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan KKM ketika kembali semula bertugas dan peraturan ketat dikenakan bagi menghalang jangkitan, selain tidak dibenarkan menjaga pesakit yang memiliki sistem imun yang lemah.

Khairy berkata garis panduan baru itu diperkenalkan selepas ramai pengarah hospital meminta semakan semula terhadap garis panduan membabitkan petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 berikutan ketidakhadiran mereka di hospital.

Setakat semalam, dia berkata seramai 19,420 kakitangan kesihatan tidak hadir bekerja, iaitu kadar ketidakhadiran sebanyak 6.8 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di kementerian itu.

Daripada jumlah titu, 94.5 peratus membabitkan kes Covid-19 dan 5.5 peratus lagi merupakan kontak rapat.

"Ini merupakan 6.8 peratus kadar ketidakhadiran untuk seluruh tenaga kerja MOH dan sejak 4 Mac kadar ketodakhadiran ini adalah lebih daripada 6 peratus.

"Oleh kerana itu ramai pengarah hospital telah mohon supaya kita dapat kaji semula polisi pengurusan Covid confirm cases. Perkara ini telahpun dibentangkan dan dipersetujui pada mesyuarat pada 15 Mac,” katanya.