Skip to main
Logo Malaysiakini

Adam Adli: Politik isu tidak relevan, PKR perlu fokus politik dasar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Bekas aktivis mahasiswa Adam Adli berpandangan politik isu yang membawa kemenangan bersejarah kepada gabungan PH dalam PRU 2018 tidak lagi relevan

Adam yang menyertai PKR pada September 2021 dan dijangka akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK) pada pemilihan akan datang berkata parti itu perlu kembali ke politik dasar untuk kekal relevan.

"Ketika PRU 2018 orang kata kita ikut politik isu seperti 1MDB dan rasuah selain individu seperti (bekas perdana menteri) Najib Razak.

"Pada asasnya, ketika itu kita ada watak antagonis. Tapi itu semua sudah berlalu, ia cuma boleh berlaku sekali sahaja.

"Kita boleh menang, tapi mengisi kemenangan itu macam mana? Saya rasa bukan soal kita menang atau tidak tapi orang nak tanya macam mana kita isi kemenangan. Saya cadangkan PKR perlu balik kepada politik dasar," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Dia dijangka berdepan dengan seorang lagi bekas aktivis mahasiswa iaitu Fahmi Zainol, yang telah pun mengesahkan akan bertanding.

Dalam PRU 2018, antara isu utama yang menjadi senjata PH adalah skandal 1MDB serta dakwaan perkaitannya dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Selain itu, manifesto untuk memansuhkan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (GST) juga dilihat sebagai faktor kemenangan PH pada masa itu.

PKR menjadi parti komponen PH dengan ahli parlimen paling ramai dengan 47 orang.

Namun, parti itu kini merekodkan prestasi terburuk dalam tiga pilihan raya negeri yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu, iaitu Melaka, Sarawak dan Johor.

PKR tidak menang sebarang kerusi di Melaka dan Sarawak, dan hanya menang sau kerusi di Johor.

‘Lepas 10 tahun orang tetap yakin’

Mengulas lanjut, Adam berkata penumpuan kepada soal dasar adalah jalan terbaik untuk parti berbilang kaum seperti PKR.

"Politik dasar ini adalah politik yang menggariskan setiap gerak kerja dan tawaran. Dalam bahasa lebih mudah, ini menyentuh dasar untuk semua sektor seperti ekonomi, pendidikan, sosial, kesihatan, demokrasi, dan industri.

"Apa tawaran kita? Apa dasar kita dan ini bukan lagi cakap soal manifesto. Manifesto adalah manifesto...setiap lima tahun kita akan keluarkan manifesto.

"Tapi orang nak tengok dasar yang kukuh, ertinya 10 tahun dari sekarang pemimpin akan berganti tetapi orang akan tetap yakin kepada dasar yang dipegang parti, yang merupakan dasar yang progresif.

"PKR ini parti perjuangan, tapi apa yang kita perjuangkan? Kita kena perjuangkan hal ini," katanya lagi.