Skip to main
Logo Malaysiakini

Roger Ng dikecualikan dalam pertemuan watak utama 1MDB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasukan peguam Roger Ng memulakan pembelaan mereka hari ini dengan membangkitkan yang bekas pegawai bank Goldman Sachs itu tidak dilibatkan dalam beberapa pertemuan dengan beberapa individu penting yang dikaitkan dengan 1MDB.

Sebaliknya, pasukan pembelaan itu menunjukkan kepada Mahkamah Daerah New York bahawa bos Ng pada masa itu - Tim Leissner - menghabiskan lebih banyak masa dengan pemain utama dalam agenda berkenaan, termasuklah Jho Low.

Sebagai contoh, mahkamah ditunjukkan satu pesanan melalui Blackberry oleh Leissner, berbunyi: “Tolong jangan beritahu Roger (Ng) tentang pertemuan kita dengan kawan itu.”

Pesanan itu ditujukan kepada seorang lagi pegawai bank Goldman Sachs pada 2012 ketika Leissner, Low dan Ng berada di Hong Kong selepas satu transaksi bon 1MDB dipersetujui.

Goldman Sachs mengatur tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion untuk 1MDB. Pendakwa raya di AS dan Malaysia mendakwa kebanyakan daripada wang itu diselewengkan.

Laporan Bloomberg mengenai perbicaraan terbabit menyatakan, tidak lama selepas pertemuan di Hong Kong itu, satu akaun luar pesisir atas nama isteri Leissner telah membayar AS$2 juta rasuah kepada seorang penasihat kepada perdana menteri ketika itu Najib Razak.

Bagaimanapun laporan itu tidak menamakan penasihat terbabit.

Pasukan pembelaan turut menunjukkan yang tidak lama selepas itu, Leissner menghadiri satu pesta hari jadi gala dianjurkan Jho Low.

Walaupun Leissner termasuk dalam senarai tetamu rasmi dalam kalangan tetamu-tetamu warga Malaysia, nama Ng pula tiada di sertakan.

Ng juga tidak berada di dalam kapal pesiaran pada Julai 2013 ketika Low memberi Rosmah Mansor - isteri Najib - satu rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu, yang dikatakan dibeli dengan duit 1MDB.

Rantai leher itu berharga AS$23 juta dan direka oleh tukang belian terkenal Lorraine Schwartz, yang turut ada di dalam bot berkenaan.

Pasukan pembelaan turut menunjukkan yang Ng tidak ada bersama Leissner dan Najib dalam majlis makan malam di San Tropez, Perancis, beberapa hari selepas itu. Bahkan kata mereka Ng tidak berada di Eropah pada waktu tersebut.

Ng berdepan perbicaraan tuduhan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah AS. Leissner dituduh dengan kesalahan sama dan mengaku bersalah pada 2020 dan terpaksa membayar denda AS$60 juta.

[Baca berita asal]