Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan ugutan tetapi AS pastikan China faham akibat bantu Rusia - Biden

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata bahawa China tahu masa depan ekonominya terikat dengan Barat, selepas memberi amaran kepada pemimpin China Xi Jinping bahawa Beijing mungkin menyesal jika menyebelahi pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Saya tidak membuat ugutan tetapi saya menjelaskan kepadanya - memastikan dia memahami akibat membantu Rusia," kata Biden kepada pemberita mengenai panggilannya dengan Xi, hari ini.

"Saya maklumkan bilangan syarikat Amerika dan asing yang meninggalkan Rusia akibat daripada tingkah laku kekejaman mereka."

Pentadbiran Biden terus memberi tekanan ke atas China supaya tidak menyokong Rusia termasuk dengan membantu Moscow berdepan dengan sekatan Barat dan memberikan bantuan ketenteraan.

China belum mengecam tindakan Rusia di Ukraine, walaupun menyatakan kebimbangan mendalam tentang perang itu dan sekatan Barat, yang dianggap Beijing sebagai tidak produktif serta sebelah pihak saja.

Komen Biden menunjukkan saling kebergantungan ekonomi China dan Amerika Syarikat, rakan dagang terbesarnya.

Pengaruh itu cuba digunakan Washington untuk menjarakkan China daripada Rusia selepas kedua-dua negara menggembar-gemburkan perkongsian strategik 'tanpa had' pada Februari lalu. Bagaimanapun, pakar menjangkakan sebarang sekatan atau tindak balas lain ke atas Beijing, bakal memberi kesan limpahan ke atas ekonomi AS juga.

Malah, menurut Institut Kewangan Antarabangsa, sudah ada tanda-tanda bahawa hubungan China-Rusia mungkin menjejaskan pelaburan asing di China, termasuk aliran modal yang ketara dari negara itu sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.

"China memahami bahawa masa depan ekonominya lebih terikat dengan Barat berbanding Rusia," kata Biden pada sidang akhbar di luar mesyuarat tergempar di Eropah mengenai perang Ukraine.

- Reuters