'Najib raja drama terdesak, cuba raih simpati sebelum ke penjara'
Seorang pemimpin PKR Pulau Pinang mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak cuba mendapatkan simpati orang awam ketika berkunjung ke negeri itu, memandangkan dia mungkin berdepan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International.
Pengarah Komunikasi PKR Pulau Pinang Amir Ghazali menyifatkan Najib sebagai "drama king desperado" yang membuat "pementasan drama" menyasarkan masyarakat Cina.
"Siapa pun boleh mengatur orang-orang atau penyokong yang masih ada untuk ditumpukan ke ceramah.
"Kami tahu, ramai yang hadir adalah saki-baki penyokong 'Bossku' yang telah disusun awal untuk memenuhi acara tersebut, itu saja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Amir, orang ramai bijak menilai tindakan seorang individu yang sarat dengan tuduhan mahkamah dan berkemungkinan bakal ke penjara.
"Maka tindakan ala 'desperado' diperlukan untuk meraih simpati rakyat," katanya lagi.
Semalam, Najib menghadiri acara rasmi dan tidak rasmi dengan kebanyakannya dengan penyertaan masyarakat Cina.
Dia menyampaikan ucap tama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis).
Dia juga berkunjung ke Teoh Kongsi, pasar malam di Jelutong dan juga jeti Chew. Gambar yang dimuat naik di Facebooknya menunjukkan Najib disambut ramai hadirin.
Namun Amir berpandangan kebanyakan penduduk Pulau Pinang tidak akan melupakan bagaimana mereka dipinggirkan oleh Najib ketika dia menjadi perdana menteri kerana negeri itu ditadbir DAP.
"Justeru, saya ucap tahniah juga di atas pementasan drama yang boleh dijadikan kenangan terindah untuk di bawa ke penjara nanti oleh 'Bossku'.
"Saya juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memahami sebaiknya akan trend terkini iaitu semakin Umno BN berkuasa, makin teruk rakyat merana terseksa," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai