Skip to main
Logo Malaysiakini

MP kutuk kekecohan dicetus penyokong 'Bossku' semalam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen DAP hari ini mengecam tindakan sekumpulan orang dipercayai penyokong Najib Razak yang terbabit dalam kekecohan dengan Pemuda DAP di Pulau Pinang semalam.

Dalam kenyataannya Kelvin Yii berkata tindakan penyokong bekas perdana menteri terbabit adalah terkutuk lebih-lebih lagi apabila protes yang dilakukan bersifat aman.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang ditunjukkan terhadap mereka (Pemuda DAP) yang menyuarakan pandangan secara aman.

"Kelakuan seperti itu tidak harus berlaku dan sebahagian daripada budaya politk lapuk yang kami ingin tukar untuk masa depan negara yang lebih baik," katanya.

Tambah ahli parlimen Kuching itu lagi dia berasa bangga apabila semakin ramai anak muda bangkit dan tahu membezakan di antara perlakuan yang betul dan salah.

Katanya apa yang dilakukan penyokong DAP itu menunjukkan kesedaran mereka kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa yang memudaratkan negara ini.

"Lebih-lebih lagi (Najib) sebagai pemimpin negara yang telah dibuktikan di mahkamah terlibat dalam aktiviti rasuah, ia bukan amalan yang harus kita terima atau maafkan.

"Oleh itu, rakyat berhak membuat bantahan denu melindungi dan mempertahankan akhlak negara," katanya.

Fakta tak boleh dipertikai

Semalam Najib berkunjung ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis rasmi. Ia mendorong sekumpulan anggota DAP mengadakan protes terhadap ahli parlimen Pekan itu di Bukit Mertajam.

Mereka diketuai ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Bukit Mertajam, Lim Zheng Han, yang turut membawa sepanduk bertulis "Bossku kemaluan negara".

Namun protes itu hanya berlangsung selama 20 minit sebelum Najib tiba di Medan Selera Insa Dunia di situ apabila protes berkenaan dihentikan oleh penyokong Najib.

Berdasarkan video yang dirakam oleh Pemuda DAP, lapan anggota parti yang menyertai protes itu dihalang tiga lelaki yang memakai baju "Bossku".

Difahamkan Lim sudah membuat laporan kepada polis berhubung insiden tersebut dengan mendakwa mereka dikasari, manakala barangan mereka dirampas serta dirosakkan.

Yii berkata Najib memang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah, malah hakim yang mendengar rayuan dibuat ahli politik terbabit menganggapnya sebagai sesuatu yang mengaibkan negara (national embarassment).

"Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

"Malah kini, dengan semakin banyak keterangan saksi seperti Tim Leissner dalam perbicaraan di AS, semakin jelas kita dapat tahu bagaimana Najib dan konco-konconya menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

"Orang seperti itu yang dikatakan national embarassment dan menjatuhkan nama negara di persada antarabangsa tidak harus diberikan layanan sebagai seorang wira," katanya.

Sudah terlewat sedekad

Sementara itu Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam kenyataan lain mengecam tindakan Najib yang menafikan dia membuat kenyataan seperti dilaporkan muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 2013.

Akhbar yang ketika itu dikawal Umno melalui pegangan sahamnya melaporkan berita bertajuk "Apa lagi Cina mahu?" dan menimbulkan kemarahan masyarakat terbabit.

Kata Lim mengapa baru sekarang bekas presiden Umno itu menafikan perkara tersebut malah menuduh DAP menggunakannya untuk propaganda parti terbabit.

"Sangat aneh untuk seseorang mengungkit kembali tajuk utama sebuah akhbar selepas hampir sedekad ia berlalu, dan apa kaitannya dengan DAP apabila ia dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang menjadi alat propaganda Umno?

Lim Lip Eng

"Sebagai perdana menteri sebelum mengalami kejatuhan yang memalukan dalam PRU 2018, Najib boleh mengarahkan pelbagai agensi berita milik kerajaan dan jurucakap Umno, Utusan Malaysia, untuk menafikan dia pernah menyebut "apa lagi Cina mahu?" sama seperti dia menafikan merompak berbilion ringgit wang negara melalui dana 1MDB.

"Mengapa Najib tidak berusaha untuk berbuat demikian? Mengapa menunggu sehingga semalam iaitu hampir sedekad kemudian?

"Saya mahu memberitahu Najib bahawa penafian tidak berasas itu sedekad terlambat.

"Jika Najib ada kredibiliti, dia sepatutnya membuat penafian serta-merta pada 2013 dulu," kata Lim.

[Baca berita penuh]