Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada keputusan parti perlu dibuat atas budi bicara presiden - PAS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebarang keputusan yang diambil PAS, kata Tuan Ibrahim Tuan Man, dibuat secara bersama selepas dibincangkan di peringkat parti yang berkaitan sesuai dengan isu berbangkit.

Kata timbalan presiden PAS itu lagi ada isu yang dibawa dan dibincangkan di peringkat Dewan Harian parti, selain di peringkat jawatankuasa pusat atau majlis syura.

"Ada juga (keputusan) sesuatu perkara dibuat menjadi budi bicara presiden," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Bera hari ini.

Terdahulu Menteri Alam Sekitar dan Air itu menghadiri program sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Taman Awam Bera, Pahang. Turut hadir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan acara tersebut.

Pada pertengahan bulan ini Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat keputusan sendiri semasa membawa parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dakwanya, keputusan Abdul Hadi didorong oleh nasihat seorang dua pemimpin yang rapat dengan duta khas bertaraf menteri terbabit.

Mohd Khairuddin yang dipecat daripada ahli Jawatankuasa Pusat PAS juga membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas pada 14 Mac lalu.

Selepas kejatuhan Pakatan Harapan, Mohd Khairuddin dilantik menjadi menteri oleh Muhyiddin Yassin namun diketepikan apabila Ismail Sabri menggantikan presiden Bersatu itu.

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu adalah seorang daripada segelintir pemimpin PAS yang dilihat lebih cenderung kepada Umno berbanding Bersatu dan PN.

Sementara itu ditanya mengenai calon yang akan bertanding mewakili PAS di kerusi parlimen Kuala Nerus pada PRU akan datang, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu akan diputuskan selepas parlimen dibubarkan.

"Soal calon, kita kena tunggu hari penamaan calon nanti," katanya.