Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: K'jaan tak boleh lagi tangguh bahas RUU IPCC

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran menggesa kerajaan agar tidak lagi menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 ke sidang akan datang.

Kulasegaran berkata dia telah membangkitkan di Dewan Rakyat Khamis lalu bahawa RUU itu tersenarai dalam aturan mesyuarat selama dua tahun, tetapi tidak dibahaskan.

“Kerajaan terus menangguhkannya dan membawanya ke sidang akan datang. Ini sudah dilakukan banyak kali.

“Ini isu besar di kalangan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sudah banyak laporan berhubung dakwaan salah laku polis namun kerajaan tiada tekad untuk membahaskan RUU itu.

Kematian dalam tahanan

Kulasegaran memetik dapatan Suhakam bahawa sekurang-kurangnya ada 34 kes kematian dalam tahanan pada 2020, sementara laporan mutakhir menyatakan sudah ada sekurang-kurangnya 13 kes itu pada tahun ini.

“RUU ini perlu kuat. Cukup kuat untuk menjadi semak dan imbang kepada polis.

“Kita berkongsi keyakinan bahawa 99 peratus dalam pasukan polis adalah cekap dan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.

“Namun kita tidak boleh ada walau seorang anggota yang bertindak melanggar aturan kerana peranan yang dimainkan mereka dalam masyarakat,” katanya lagi.

RUU IPCC menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibawa pentadbiran PH.

Perbandingan menunjukkan RUU IPCC jauh lebih lemah berbanding RUU IPCMC.

Satu perbezaan utama ialah IPCC tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku. Sebaliknya, tindakan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau badan lain yang berkaitan.