Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP bimbang hilang 5 kerusi parlimen pada PRU15

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP menjangkakan akan kehilangan lima daripada 42 kerusi parlimennya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berdasarkan prestasi parti itu dan trend pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Berucap di pemukiman DAP Selangor hari ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, di Johor, parti itu menjangkakan akan dapat mempertahkan empat kerusi parlimen, namun kerusi Labis berada dalam kedudukan bahaya.

“Kecenderungan ini adalah berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Johor baru-baru ini, dengan mengira undi yang DAP peroleh, dan mengandaikan pengundi masih mengundi parti yang sama di kerusi parlimen.

"Jadi satu-satunya kerusi parlimen yang kita mungkin kalah di Johor ialah Labis," kata Lim kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas ucapan tersebut.

DAP merampas Labis daripada MCA pada 2018 dan menang dengan majoriti 3,408 undi.

Bagaimanapun, PRN Johor menyaksikan MCA bangkit semula dan merampas empat kerusi iaitu Bekok, Yong Peng, Paloh dan Pekan Nanas.

Bekok adalah salah satu daripada dua kerusi DUN di Labis. Satu lagi kerusi DUN iaitu DUN Tenang, turut dirampas semula oleh BN pada PRN baru-baru ini.

Anggaran kasar

Berdasarkan keputusan di DUN itu, DAP menjangka akan tewas lima kerusi parlimen.

Bagaimanapun, Lim berkata ramalan itu hanyalah anggaran secara kasar.

Dia juga enggan mendedahkan empat lagi kerusi parlimen yang berada dalam kedudukan bahaya.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP yang enggan dikenali memberitahu Malaysiakini bahawa kerusi DAP di Pahang, Bentong dan Raub juga dalam bahaya.

Seperti Labis, kedua-dua kerusi ini adalah antara kerusi DAP yang tidak dimenangi parti itu dengan majoriti lima angka pada 2018.

DAP memenangi kerusi Raub dengan 3,159 undi dan Bentong dengan 2,032 undi.

Kerusi lain dengan majoriti "kecil" ialah Mas Gading (3,024) dan Sarikei (2,570) di Sarawak, dan Tenom (1,133 di Sabah.

DAP memenangi kerusi parlimen Raub dan Sarikei selama dua penggal.

Kebanyakan kerusi Parlimen DAP dimenangi pada 2018 dengan majoriti lima angka.

Sementara itu berdasarkan keputusan PRN Sarawak tahun lalu, Sarikei juga dalam bahaya untuk kembali semula kepada SUPP.

Satu lagi kerusi yang berpotensi dalam bahaya ialah Stampin. Walaupun DAP memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 14,221 undi - prestasi mereka kurang memberangsangkan di kerusi DUN semasa PRN Sarawak.

Jika DAP kehilangan lima daripada 42 kerusi parlimennya pada PRU15, ia akan berbalik semula kepada keputusan pada 2013, apabila parti itu memenangi 38 kerusi.

Bagaimanapun, masih terdapat sedikit keyakinan bahawa DAP akan dapat mengatasi perkara itu.

Terdahulu ketika berucap kepada ahli DAP Selangor, Lim berkata parti itu masih mempunyai masa untuk mempertahankan kesemua 42 kerusi yang dimenanginya.

“Kita masih ada masa untuk mempertahankan kesemua 42 kerusi dengan syarat kita bekerja keras dan mencari formula yang boleh mengumpulkan kekuatan kita bukan untuk berlawan sesama sendiri tetapi bersama menentang BN.

“Dan dengan mesej yang betul, kepimpinan dan kerja berpasukan kita boleh menang semula di kerusi kita di Selangor dan kerajaan negeri lain yang kita menangi pada 2018,” katanya.