Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan perjudikan nyawa' - pesanan MMA kepada individu belum vaksin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengingatkan kalangan yang masih belum vaksin supaya tidak memperjudikan nyawa mereka dengan terus menolak vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden MMA Dr Kok Kar Chai berkata meskipun negara dalam fasa peralihan kepada endemik, hospital masih menerima kemasukan pesakit dan merekodkan kematian akibat Covid-19 setiap hari.

“Walaupun gejala Covid-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, bukan semuanya begitu.

“Jika sistem imun semula jadi seseorang itu lemah, masih ada kemungkinan mendapat gejala yang teruk apabila dijangkiti virus ini, walaupun setelah divaksin, apatah lagi mereka yang belum menerimanya.

“Oleh itu, mesej MMA kepada orang ramai ialah jangan perjudikan nyawa anda. Dapatkan perlindungan maksimum yang tersedia melalui vaksinasi dan suntikan dos penggalak,” katanya.

Kok menegaskan bahawa warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang masih belum menerima dos penggalak supaya tidak berlengah lagi.

“Varian Omicron sangat mudah menular dan ini menjadikan kemungkinan semua orang dijangkiti Covid-19 amat tinggi. Jadi yang terbaik adalah mendapatkan perlindungan tambahan dengan dos penggalak.

"Jika anda masih tidak pasti, dapatkan nasihat doktor anda," katanya.

Penerima Sinovac perlu dos penggalak

Katanya lagi, tiada banyak yang boleh dilakukan terhadap mereka yang masih bertegas untuk tidak mengambil dos penggalak memandangkan pelbagai usaha telah diambil untuk meningkatkan kesedaran.

“Bukti telah menunjukkan bahawa mereka yang divaksin dengan dua dos vaksin Sinovac akan memerlukan dos penggalak untuk memastikan tahap imuniti yang mencukupi. Ini terutamanya bagi mereka yang sudah tua serta kalangan yang mempunyai komorbiditi,” kata Kok.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 20,923 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,122,004.

Sepanjang minggu lalu, purata 67.6 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, manakala purata bagi 30 hari lalu ialah 74.3, menunjukkan bahawa kematian Covid-19 berada dalam aliran menurun.

Terdapat 1,968 kematian Covid-19 yang dilaporkan pada bulan ini. Sebagai perbandingan, terdapat 771 kematian pada bulan lepas dan 491 kematian pada Januari.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 1,049 kematian bagi setiap 1 juta penduduk, dan keempat terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan – semuanya di Timur Tengah.