Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairy: MySejahtera bukan dijual, data pengguna selamat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk melantik sebuah syarikat untuk menguruskan aplikasi MySejahtera tidak bermaksud aplikasi itu dijual.

"KKM ingin menjelaskan kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta.

"Pada 26 November 2021, kerajaan telah memutuskan bahawa MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara," kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata lagi, syarikat sama telah menguruskan aplikasi itu sejak dari awal dan menawarkan perkhidmatannya untuk tempoh setahun tanpa bayaran sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sepanjang tempoh itu, kata Khairy, kerajaan tidak pernah membayar apa-apa kepada Kpisoft (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi itu.

Namun, selepas tempoh setahun itu tamat pada 31 Mac tahun lalu, kerajaan setuju agar perkhidmatan MySejahtera diteruskan dan Jawatankuasa Rundingan Harga ditubuhkan.

"Keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

"Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Februari 2022 setuju meluluskan permohonan KM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkata Kementerian Kewangan.

"Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan," kata Khairy lagi.

Bagaimanapun, syarikat yang dilantik berbeza dengan Kpisoft - iaitu MySJ Sdn Bhd.

Walaupun pengarah MySJ Sdn Bhd termasuk dua pengasas Kpisoft, mereka juga termasuk individu yang mempunyai hubungan politik.

Pegawai Kementerian Kesihatan yang memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata MySJ Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan dengan Kpisoft.

Dia juga menegaskan sejak dari awal, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM.

"Segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM.

"Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

"Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta," katanya lagi.

Katanya lagi, data MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi itu sahaja.

"KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan MySejahtera tanpa ragu-ragu.

"Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi," katanya lagi.