Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan BN patut lulus pembesaran lapangan terbang P Pinang, gesa Sim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan BN perlu berpegang pada kata-katanya untuk tidak menyekat pembangunan di Pulau Pinang dengan meluluskan pembesaran lapangan terbang antarabangsa negeri itu, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata hal itu kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melalui pihak berkuasa tempatan telah meluluskan projek pembesaran LTAPP itu pada Disember 2019.

Bagaimanapun, kata Sim projek tersebut telah dibekukan selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.

“Malangnya, pada Februari 2020, selepas Langkah Sheraton, menteri pengangkutan kerajaan PN-BN, Wee Ka Siong telah membekukan projek tersebut.

"Selepas kerajaan persekutuan diambil alih oleh Umno-BN pada Ogos 2021, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tetap dibeku dan belum dipulihkan semula sehingga kini," kata Sim pada satu kenyataan.

Bekas perdana menteri, Najib Razak semasa lawatan ke Pulau Pinang semalam berkata bukan BN yang menghalang pembangunan di Pulau Pinang.

Sebaliknya, Najib berkata kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP seharusnya bertanyakan kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada Mac 2020 berikutan keruntuhan kerajaan PH, namun dia digulingkan sekumpulan ahli parlimen Umno pada Ogos 2021.

Ini sekali gus membuka jalan kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Sim berkata jika Umno-BN benar-benar ikhlas mengenai pembangunan di negeri Pulau Pinang, kerajaan pusat yang kini diterajui kepimpinan parti itu harus meluluskan projek pembesaran lapangan terbang terbabit.

"Jika benar Umno dan BN tidak berniat menghentikan projek pembesaran LTAPP, maka perdana menteri dari Umno dan menteri pengangkutan dari BN harus memulihkan semula projek tersebut dengan serta merta," katanya.