Skip to main
Logo Malaysiakini

NFA - Kes libatkan bekas presiden Majlis Peguam 'burukkan' kehakiman

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa telah mengklasifikasikan laporan polis yang dibuat oleh pegawai khas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berhubung mesej yang dikatakan memburukkan badan kehakiman sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut ‘ (NFA).

Menurut laporan The Edge Markets hari ini, polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat klasifikasi tersebut selepas AGC mengembalikan kertas siasatan kes berkenaan.

Harian perniagaan itu melaporkan pihak berkuasa juga membebaskan bekas presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar judul, atas).

Nama Lim didakwa muncul dalam mesej pada tahun lalu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku kehakiman dalam penetapan hakim kes perbicaraan

“Siasatan (terhadap Lim) telah dirujuk kepada bahagian pendakwaan AGC dan arahan telah diperoleh daripada mereka iaitu perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA,” kata Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dipetik dalam surat bertarikh 22 Mac.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Seksyen 500 dan 504 merujuk kepada kesalahan memfitnah dan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan. Seksyen 233 pula berhubung menggunakan kemudahan atau rangkaian secara tidak wajar.

Isu ekuiti bumiputra

The Edge Markets juga memetik peguam Lim, Ragunath Kesavan mengesahkan klasifikasi siasatan sebagaai NFA itu.

“Saya mengesahkan bahawa kami menerima daripada polis surat mereka yang menyatakan bahawa laporan polis badan kehakiman telah diklasifikasikan sebagai NFA.

"Polis telah mengesahkan bahawa anak guam saya tidak terlibat dalam apa-apa cara dalam dakwaan dalam laporan polis," kata Ragunath, yang juga pernah mengetuai Majlis Peguam.

Dakwaan penetapan hakim perbicaraan mahkamah itu timbul tahun lepas susulan kes mahkamah yang dikaitkan dengan isu ekuiti bumiputera unit Malaysia dalam firma perkhidmatan minyak terbesar Norway, Aker Solutions ASA.

Pada 15 Jun tahun lepas, portal berita Free Malaysia Today melaporkan pegawai kanan Tengku Maimun membuat laporan polis terhadap seorang peguam kanan mendakwa dia mencemarkan nama baik badan kehakiman.

Lima hari kemudian, Lim dilaporkan berkata mesej berkenaan adalah rekaan dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Kemudian pada 19 Jun tahun lepas, portal berita Sarawak Report melaporkan dakwaan penetapan hakim perbicaraan di mahkamah, dengan memuat naik tangkapan skrin bagi mesej yang didakwa itu.

[Baca berita asal]