Lelaki kena lokap persoal dana RM70 juta MySejahtera tambah berang
Pada Jun 2021, rumah seorang lelaki diserbu dan dia dilokap selama satu malam kerana membuat ciapan tentang peruntukan untuk MySejahtera.
Dia ditahan di bawah Ordinan Darurat yang berkuat kuasa ketika itu kerana mencetuskan kegentaran awam.
Ciapan itu menyatakan peruntukan RM70 juta bukan untuk MySejahtera tetapi kepada satu kontraktor untuk menguruskan vaksinasi.
Dengan isu peruntukan dan pemilikan MySejahtera kembali menjadi perhatian, berita-berita berkenaannya mencetuskan kemarahan lelaki itu.
“Saya marah sebab kena lokap sehari tahun lepas dengan hilang telefon, modem dan router sampai berbulan-bulan sebab persoalkan perkara yang hari ini terbukti betul dalam berita,” ciapnya semalam.
Lelaki berusia 37 tahun yang bekerja dalam industri IT itu tidak pernah dirujuk secara khusus dalam kenyataan polis berhubung penangkapannya serta laporan berita berkenaannya.
Dia hanya dirujuk dengan menggunakan nama Twitternya ketika itu - Abah@ChairmanGLC.
Enggan mendedahkan identiti dirinya, dia ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata laporan berita berkenaan perkara itu mutakhir ini membuatkannya menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa.
“Saya nak (ambil tindakan undang-undang). Tetapi saya tak ada masa dan tenaga untuk melakukannya,” katanya.
Bagaimanapun laporan minggu lalu tidak menyentuh berhubung perkembangan untuk pemberian vaksin atau tanggungjawab kontraktor, seperti ciapannya tahun lalu.
Sebaliknya ia berkenaan bagaimana MySejahtera dibangunkan tanpa kontrak yang sebetulnya dan tentang kerajaan yang baru sekarang membuat rundingan perolehan dibuat.
Perkara ini berdasarkan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) minggu lalu.
Namun lelaki itu yakin perkembangan itu membuktikan ciapannya.
“Berita hujung minggu lalu bahawa RM70 juta bukan digunakan untuk membangunkan Mysejahtera dan portalnya. Itulah yang saya ciapkan.
“Jika kita tidak bersuara, siapa lagi?” soalnya.
Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” oleh Pejabat Peguam Negara. Barangan yang dirampas juga telah dipulangkan.
Namun, kata lelaki itu, dia tidak lagi boleh menggunakan telefon itu kerana pihak berkuasa telah melakukan sesuatu pada sistem pengoperasiannya ketika menjalankan siasatan, menyebabkan ia tidak lagi boleh digunakan.
Akaun Twitternya juga telah digantung dan ciapannya - yang kebanyakannya kritikal terhadap kerajaan - telah dipadam.
Sejak dibebaskan, dia telah kembali di Twitter dengan nama yang sama dan terus membuat ciapan mengkritik dasar kerajaan.
“Mula-mula agak takut juga. Tapi kalau semua takut bersuara, siapa lagi nak bersuara bagi pihak kita?
“Ketika saya kena tahan di bawah Ordinan Darurat, ada orang lain yang turut ditangkap atas hal sama tetapi saya seorang saja yang dilokap.
“Ketika itu saya tahu yang ada kebenaran tentang apa yang say perkatakan,” katanya lagi.
Antara yang disiasat pada Jun lalu kerana mengkritik MySejahtera adalah Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.
Dia disoal siasat polis berhubung ciapan pada November 2020 yang membangkitkan kebimbangan berkenaan perlindungan data yang diperolehi dan diselia MySejahtera.
Kes itu masih disiasat dan telefonnya masih dengan pihak polis, menurut Azrul di Twitter.
Dia juga berkata tidak mendengar tentang kes itu daripada pihak berkuasa sejak tahun lalu.
‘Saman mereka!’
Kira-kira 24 jam selepas ciapan lelaki itu berkenaan kemarahannya, ia telah diciap semula sebanyak 2,000 kali dan menerima 5,000 tanda suka.
Kebanyakan netizen menggesanya untuk mengambil tindakan undang-undang manakala ada juga yang bertanya jika dia memerlukan wang untuk perkara itu.
Seorang pengguna berkata: “Saman mereka! Saman mereka kerana fitnah, agar kes ini dijadikan contoh, dan kerana ia menjejaskan kehidupan seharian dan kerja anda.”
Laporan berkenaan MySejahtera yang dibangunkan oleh pihak persendirian tanpa kontrak yang sepatutnya dengan kerajaan telah membangkitkan kebimbangan berkenaan perlindungan data.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi jaminan yang Kementerian Kesihatan saja memiliki akses terhadap data yang diperolehi aplikasi itu.
Sebagai sebahagian daripada langkah mengawal penularan Covid-19, warga Malaysia perlu mendaftar masuk ketika mengunjungi mana-mana premis menggunakan aplikasi itu.
Namun ramai yang mempersoalkan keperluannya kerana data tersebut tidak digunakan untuk pengesanan kontak untuk kes individu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai