Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita PKR calonkan Fuziah tanding naib presiden

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh secara rasmi mengumumkan bahawa dirinya akan bertanding bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti pada Mei ini.

Ia susulan keputusan majlis pimpinan pusat wanita yang sebulat suara menamakan ahli parlimen Kuantan itu sebagai calon naib presiden.

"Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

"Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku pengarah pilihan raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

"Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut," kata Fuziah kepada Malaysiakini.

Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, setiausaha wanita kebangsaan Nor Azrina Surip berkata bahawa sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita yang di barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memenuhi kehendak perlembagaannya.

"MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

"MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR Pusat Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti," katanya.

Menurut Nor Azrina yang juga ahli parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

Sementara itu, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

"Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

"Ini kerana mungkin PRU15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

"Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya," katanya.

Fuziah merupakan naib presiden bagi penggal 2010-2014.

Dia dilantik sebagai ketua wanita susulan penyandangnya Haniza Mohamad Talha yang dilucutkan keanggotahan mereka daripada parti.