Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI l Apa yang didedah oleh PAC pasal MySejahtera?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PANDUANKINI l Aplikasi MySejahtera yang digunapakai sejak pandemik Covid-19 tercetus itu akhirnya bukan percuma.

Justeru, terdapat banyak persoalan mengenai siapa sebenarnya mendapat kontrak untuk mengurus aplikasi yang telah merakamkan butiran peribadi, status kesihatan dan lokasi kira-kira 38 juta pengguna.

Banyak butiran mengenai perjanjian itu tidak didedahkan sekiranya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tidak menyoal Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan pada 8 Mac.

Panduankini akan meneliti beberapa topik yang dibincangkan oleh PAC, seperti pihak yang terlibat dalam MySejahtera dan apa kepentingan mereka.

Siapa pemilik aplikasi MySejahtera?

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan memiliki hak ke atas aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, jawapan bertulis Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan kepada PAC membuatkan isu itu kelihatan lebih rumit.

Kementerian Kesihatan telah membentuk "Jawatankuasa Pemandu MySejahtera" yang dipengerusikan oleh Khairy untuk memutuskan pengurusan dan hala tuju permohonan serta melihat aspek kos-faedah pengambilalihan "lengkap" aplikasi itu.

Walaupun aplikasi asas MySejahtera dimiliki oleh kerajaan, beberapa modul tambahannya mungkin tidak dimiliki oleh kerajaan.

"Kini, KKM sebagai pemilik MySejahtera telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu MySejahtera yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan dengan keahlian pelbagai pihak seperti MOSTI, MAMPU, JPM, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta SKMM untuk tujuan tadbir urus dan hala tuju MySejahtera termasuklah dalam mempertimbangkan kos dibandingkan dengan manfaat untuk pengambilalihan MySejahtera secara sepenuhnya,” menurut maklum balas Mosti dan KKM dalam laporan PAC.

Berapa kerajaan bayar untuk MySejahtera?

Tiada setakat ini.

KPISoft Sdn Bhd telah diberikan kontrak oleh Kementerian Kesihatan untuk membangunkan MySejahtera sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021. Putrajaya tidak akan dikenakan bayaran untuk tempoh itu.

Menurut jawapan Mosti dan KKM kepada PAC, Putrajaya memutuskan KPISoft Sdn Bhd perlu dibayar mulai 1 April 2021 kerana semua komponen tambahan telah ditambah pada MySejahtera yang tidak ada dalam perjanjian asal pada 2020.

Komponen tambahan itu termasuk Sistem Pentadbiran Vaksin Malaysia (MyVAS) yang digunakan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Sehingga semalam, KPISoft Sdn Bhd masih belum dibayar, menurut Khairy.

Pada 26 Nov tahun lepas, Putrajaya mengarahkan Kementerian Kesihatan menubuhkan jawatankuasa perolehan bagi meneliti kontrak dua tahun untuk menguruskan MySejahtera.

Pada 28 Feb, Kementerian Kewangan meluluskan pelan perolehan Kementerian Kesihatan itu. Tiada sebarang kos indikatif.

Siapa ditawarkan kontrak?

Timbalan setiausaha di Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan Rosni Mohd Yusoff memberitahu PAC bahawa pada 26 Nov tahun lepas, Putrajaya meluluskan keputusan Kementerian Kesihatan untuk melantik MYSJ Sdn Bhd untuk menguruskan MySejahtera.

Perolehan itu dilakukan tanpa proses tender terbuka.

Kenapa ada dua syarikat terlibat MySejahtera?

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Harjeet Singh, memberitahu PAC bahawa KPISoft Sdn Bhd menukar namanya kepada MYSJ Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Rosni menjelaskan KPISoft Sdn Bhd dan MYSJ Sdn Bhd adalah dua entiti berbeza.

Ketika prosiding, Pengerusi PAC Wong Kah Woh menegaskan bahawa pengarah KPISoft ialah Rekhta Mani dan Yogaraj Thuraisingam.

Sementara itu, Pengarah MYSJ pula ialah Heah Kok Boon, Raveenderan Ramamoothie, Anuar Rozhan, Liew Kee Sin, Shahril Shamsuddin dan Megat Najmuddin Megat Khas.

Anuar ialah abang kepada bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd Rohana Rozhan, yang sedang disiasat oleh SPRM selepas namanya disebut dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat, manakala Shahril pula ialah ketua pegawai eksekutif Sapura Energy.

Megat Najmuddin pula bekas veteran Umno yang menyertai Bersatu pada 2018. Kini, dia merupakan pengerusi lembaga disiplin Bersatu.

Di antara mereka, Anuar merupakan satu-satunya individu yang menjadi penghubung antara KPISoft (kini dikenali sebagai Entomo) dan MYSJ Sdn Bhd.

Adakah MYSJ sebuah syarikat baru?

Ya, ia diperbadankan pada September 2020.

Bagi KPISoft, mereka telah wujud sejak 2005 dan berpangkalan di Singapura, dengan kehadiran di Malaysia.

Entitinya di Malaysia menukar nama kepada Entomo Malaysia pada Mei 2020.

Menurut laporan Code Blue, MySJ Sdn Bhd bertujuan untuk Entomo Malaysia, syarikat bertujuan khusus yang dibentuk untuk projek perkongsian awam-swasta (PPP).

Khairy pula memberikan kenyataan yang berbeza pada sidang medianya hari ini (28 Mac). Dia menjelaskan bahawa tidak pernah ada kontrak antara Kementerian Kesihatan dan KPISoft.

Selepas menjadi menteri kesihatan pada 27 Ogos tahun lepas, Khairy berkata perkara itu telah dibawa ke kabinet dan menegaskan bahawa ia memerlukan kontrak.

“Jadi saya bawa perkara ini kepada kabinet, saya kata kita perlu ada satu kontrak yang ditandatangani bersama antara kerajaan dan juga syarikat yang mengendalikan platform ini.

“Itulah bermula rundingan dengan KPISoft. Lepas itu KPISoft memaklumkan mereka dah tukar nama (kepada Entomo) dan mereka dah bagi lesen kepada MYSJ untuk mengendalikan platform tersebut,” katanya.

“MySJ dimiliki oleh kerajaan, data dimiliki oleh kerajaan. Penyelenggaraan platform tersebut adalah isu yang dibincangkan pada hari ini,” kata Khairy.

[Baca berita asal]