Skip to main
Logo Malaysiakini

Buruh warga asing didakwa rogol budak 12 tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang buruh binaan warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun lapan bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Md Kalam Molla, 32, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun lapan bulan dalam di sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Kubang Kerian, kira-kira jam 2 pagi pada 20 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana berkemungkinan tertuduh yang merupakan warga asing melarikan diri daripada undang-undang negara ini.

Bagaimanapun Md Kalam dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan tersebut.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan dikenakan dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan laporan perubatan mangsa dan sebutan semula kes.