Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan pengeluaran khas KWSP boleh dibuat secara dalam talian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Permohonan pengeluaran khas RM10,000 boleh dibuat secara dalam talian di pautan pengeluarankhas.kwsp.gov.my bermula 1 April ini.

Bagaimanapun, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan pencarum supaya menyemak baki simpanan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

Semakan baki simpanan KWSP boleh dibuat melalui tiga cara i-Akaun (Ahli), aplikasi mudah alih i-Akaun atau Kios KWSP.

“Dalam kenyataan pada 16 Mac 2022, KWSP mengumumkan bahawa permohonan untuk pengeluaran ini akan dibuka kepda ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April dan berakhir pada 30 April 2022, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April 2022.

“Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50, dan ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka.

“Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli.

“Ahli perlu pastikan akaun bank adalah aktif dan di bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat tidak dibenarkan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Dana persaraan itu juga memaklumkan semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Tujuan pengeluaran khas ini untuk membantu pencarum yang masih terkesan dengan pandemik bagi memenuhi keperluan mendesak hari ini.

Pada masa yang sama, KWSP juga mengingatkan pencarum supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu sahaja.

Bagi mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac berkata kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP itu bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).