Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun: Bandar Perabot Gua Musang tak nampak 'go skaro'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan mengenai status Bandar Perabot Gua Musang yang didakwa sehingga kini tiada perkembangan selepas dirasmikan satu setengah tahun lalu.

Perkara itu dibangkitkan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) ketika membahaskan titah diraja sempena persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya sehingga kini status terkini Bandar Perabot terbabit masih "sepi tanpa berita."

"Galas ingin penjelasan, adakah kita telah terima kos infrastruktur ini atau bagaimana? Untuk pengetahuan menteri besar, status terkini Bandar Perabot ini masih sepi tanpa berita.

"Kawasan ini kekal seperti waktu menteri besar datang ketika perasmian dulu. Sudah dua kali al-Sultan bertitah mengenai perkara ini," tegasnya.

Tambah Syahbuddin, dia berpandangan sesuatu tindakan perlu dilakukan segera selepas kerajaan negeri berjanji untuk mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan dengan pembangunan projek tersebut.

"Galas berpandangan, sesuatu perlu dilakukan segera. Kita dah jadi seumpama penglipur lara dah, janji 1,500 peluang kerja tetapi hingga kini, habuk pun tak ada, tak nampak go skaro (tak ada kesan apa pun)," katanya.

Sebagai rekod projek Bandar Perabot Gua Musang dirasmikan dengan majlis pecah tanah pada 10 Sept 2020 dan RM20 juta kos infrastruktur keseluruhan dipohon melalui Rancangan Malaysia ke-12.