Skip to main
Logo Malaysiakini

KPM jamin selesai tunggakan gaji pekerja pembersihan sekolah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pekerja pembersihan sekolah dari Sabak Bernam menerima jaminan - dalam bentuk surat tulisan tangan daripada Kementerian Pendidikan - bahawa mereka yang tidak dibayar gaji sejak November akan menerimanya pada 1 April.

Pekerja pembersihan itu berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, sebagai bantahan selepas gaji mereka yang tidak dibayar.

Pada 2.35 petang, mereka menerima surat jaminan tulisan tangan - yang menyatakan bahawa pekerja pembersihan sekolah berkenaan akan menerima bayaran tunggakan gaji pada 1 April.

Ini berikutan perbincangan hari ini dengan pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

Mengenai penyenaraian hitam syarikat yang didakwa bertanggungjawab atas isu itu, wakil Kementerian Pendidikan - hanya dikenali sebagai Puan Aidawati - telah mengesahkan bahawa semua aduan akan disiasat - dengan tindakan sewajarnya diambil.

Gaji pekerja pembersihan sekolah ini - yang secara kasarnya dibayar RM973 selepas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) - dikatakan telah tertunggak sejak November tahun lalu.

Seramai 30 pekerja mengambil bahagian dalam bantahan hari ini, yang dianjurkan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), di Putrajaya - yang bermula kira-kira 10.30 pagi tadi.

Chong Yee Shan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) memberitahu Malaysiakini bahawa pekerja berkenaan bersedia untuk menduduki ruang itu sehingga perkara itu diselesaikan.

Susulan penyerahan memorandum kumpulan itu, pekerja pembersihan sekolah Norma Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa isu itu telah berlarutan selama bertahun-tahun.

"Dengan syarikat ini, kita orang baru (kerja) tiga tahun, ada yang paling lama sembilan tahun. Isu gaji ni daripada dulu sebenarnya tapi kerana kita orang sudah ambil tindakan macam ini, mereka nak follow up semua untuk tuntut hak mereka," kata Norma.

Dia mendakwa kumpulan itu hanya menerima panggilan untuk membincangkan isu itu semalam selepas JPKK mengumumkan rancangan mereka untuk mengadakan bantahan di hadapan Pejabat Perdana Menteri.

  • Dalam memorandum hari ini, mereka menuntut perkara berikut:

  • Penyelesaian semua gaji pekerja yang telah tertunggak dari November 2021 hingga sekarang.

  • Penyenaraian hitam syarikat kontraktor - As Rezeki Resources, Panggilan Effektif Enterprise dan Parit Lapan Enterprise - dan pengarahnya.

  • Penyelesaian semua caruman ke akaun pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).

  • Penyerapan kakitangan pembersihan sebagai pekerja tetap di premis kerajaan.