Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda yakin pemilihan ketua AMK tak cetus konflik parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Debaran pemilihan PKR kian terasa apabila pelbagai kumpulan dalam parti itu mempersiapkan diri masing-masing untuk berentap bagi menguasai jawatan yang dipertandingkan.

Jika diimbau kembali, PKR pernah melalui detik hitam apabila berlaku ‘perang saudara’ susulan persaingan sengit dalam pemilihan parti.

Misalnya perebutan merebut jawatan timbalan presiden di antara Azmin Ali dan Rafizi Ramli pada tahun 2018 yang kemudian menjejaskan kestabilan parti.

Kini persaingan untuk jawatan ketua Pemuda PKR (AMK) menarik perhatian ramai apabila menyaksikan dua bekas aktivis pelajar bakal bersaing untuk mendapatkan sokongan ahli parti.

Seorang daripada mereka ialah Fahmi Zainol, 31, pada 27 Mac lalu mendedahkan barisan barisan regunya untuk menghadapi pemilihan tersebut.

Dia yang juga merupakan ketua AMK Pulau Pinang ialah bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya dan pernah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pentadbiran kerana menjemput Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berucap di kampus terbabit pada 2014.

Fahmi menyertai PKR pada 2015.

Fahmi Zainol

Seorang lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi jawatan tersebut ialah Adam Adli.

Dia adalah aktivis yang terbabit dalam kegiatan pelajar dan pernah ditahan beberapa kali dan didakwa mengikut Akta Hasutan. Adam menyertai PKR secara rasmi pada Sept tahun lepas. Turut bersama Adam ialah 19 aktivis lain.

Bagaimanapun, untuk membolehkan Adam bertanding dia perlu mendapatkan pengecualian daripada ketetapan perlembagaan parti yang menghalang ahlinya dicalonkan ke mana-mana jawatan jika keanggotaannya kurang dari 12 bulan.

Persaingan kekal sihat

Difahamkan ketika ini Anwar sedang mempertimbangkan permohonan Adam untuk mendapatkan pengecualian tersebut.

Sementara itu ditanya mengenai risiko terhadap peluang seseorang apabila mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana kumpulan sebelum persidangan berlangsung, seorang peguam dan ahli PKR, Asheeq Ali Sethi Alivi, menafikannya.

“Situasi yang ideal ialah dalam pemilihan parti tidak ada kumpulan atau kem tertentu tapi adalah sukar untuk menghalang terbentuknya sebarang kumpulan dalam mana-mana parti.

"Pemilihan pada 2018 adalah antara yang terburuk selepas persengketaan marak berlaku di antara kumpulan Azmin dan Rafizi, walaupun pada tahun yang sama PKR memperkenalkan dasar ketat untuk tidak membenarkan sebarang penggunaan bahan gambar berkumpulan ketika berkempen.

Adam Adli

“Saya tidak rasa apa yang dia (Fahmi) umumkan itu sebagai berbahaya, selagi persaingan itu kekal sihat tanpa melanggar disiplin parti," katanya.

Tambah Asheeq Ali, dia yakin selepas Azmin dan penyokongnya meninggalkan PKR, parti itu tidak lagi dibayangi sebarang unsur permusuhan melampau atau gangsterisme.

Kalah, menang tetap seperjuangan

Ketua AMK Melaka, Prasanth Kumar Brakasam, yang dimasukkan ke kem Fahmi menyamakan suasana pemilihan parti dengan pilihan raya umum (PRU).

“Pada pendapat saya, ada kebaikannya untuk kumpulan berkempen secara terbuka supaya idea dan manifesto yang ingin dibawa itu dapat dilihat dan dibezakan oleh ahli.

“Ia sama seperti PRu. Kita perlu tegakkan demokrasi untuk bersuara dan kongsikan idea kita kepada umum agar dapat membantu ahli parti membuat pilihan yang terbaik,” katanya.

Jhen Pei Seah

Kenyataan itu disokong Jhen Pei Seah yang berasakan persaingan adalah kunci utama kepada sebuah demokrasi.

“Menyekat persaingan itu bercanggah dengan prinsip demokrasi. Walaupun begitu, kita juga perlu sedar yang kita semua berada dalam parti yang sama.

“Ideologi, agenda reformasi dan kepentingan rakyat perlu menjadi objektif yang dipikul bersama untuk menyatukan kita semua semula," katanya.

Chua Wei Keat

Adun Rawang yang juga ketua AMK Selangor, Chua Wei Kiat, merupakan seorang lagi calon yang dinamakan oleh Fahmi sebagai anggota kemnya pada Ahad lalu.

Dia berkata kempen yang sedang dijalankan setakat ini tidak mempunyai konotasi negatif, dan walau apa pun keputusan pemilihan itu nanti tiada rasa tidak puas hati yang akan disimpan.

“Kempen secara terbuka boleh memberi peluang bagi anggota membuat perbandingan.

“Kami memupuk kempen secara sihat. Antara saya, Fahmi dan Adam pun kami berkawan rapat, kalah menang kami tetap rakan seperjuangan. Kita hormat proses demokrasi,” kata beliau.

Penamaan calon ditetapkan pada pada 9 April ini manakala undian untuk jawatan bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung pada 13 Mei sehingga 18 Mei.

[Baca berita asal]