Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM digesa beri perlindungan tambahan pada pekerja kesihatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan pekerja penjagaan kesihatan menggesa kementerian untuk mempertimbangkan semula keputusan memendekkan tempoh kuarantin kepada pekerja kesihatan dan sebaliknya memperkenalkan perlindungan tambahan.

Gesaan itu hadir selepas Kementerian Kesihatan memendekkan tempoh kuarantin untuk beberapa pekerja penjagaan kesihatan yang positif Covid-19 bagi menangani kekurangan kakitangan.

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata ini bagi mengelakkan kes Covid-19 daripada bertukar menjadi kluster Covid-19 berkaitan penjagaan kesihatan, yang akan menggagalkan objektif dasar baru untuk mencegah kekurangan kakitangan dan mengurangkan beban kes Covid-19.

Jelas MHC, kajian telah menunjukkan bahawa separuh daripada pesakit Covid-19 kekal positif pada hari kelima selepas dijangkiti.

"Petugas kesihatan yang kembali bekerja pada hari keenam boleh menyebabkan kluster fasiliti kesihatan.

"Kami menyeru kerajaan untuk berwaspada dengan pengunaan Annex 21b sebagai garis panduan untuk mengatasi masalah kekurangan petugas kesihatan kerana, ia boleh meningkatkan beban kes Covid-19 dan tidak adil kepada petugas kesihatan dan keluarga mereka.

"Kami menggesa kerajaan untuk mewajibkan ujian antigen untuk petugas kesihatan yang disahkan positif Covid-19 tidak bergejala pada hari kelima dan hanya membenarkan mereka yang mempunyai keputusan negatif untuk kembali bekerja," kata MHC dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka juga menggesa kerajaan memastikan pekerja penjagaan kesihatan dibekalkan dengan peralatan pelindung diri yang sesuai, termasuk menyediakan alat pernafasan yang memenuhi piawaian seperti N95, KF94, dan FFP2 kepada semua pekerja penjagaan kesihatan.

Bagi pekerja penjagaan kesihatan yang mempunyai tanggungan, terutama kanak-kanak, mereka menggesa kerajaan membenarkan mereka melengkapkan tempoh pengasingan penuh selama tujuh hari.

Kata MHC, ini kerana kemudahan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak tidak mungkin menerima anak mereka sehingga tujuh hari berlalu.

"Kami juga menyeru kerajaan untuk memberi sijil cuti sakit atau medical certificate (MC) bagi mengelakkan pengunaan cuti tahunan untuk sebarang hari rehat tambahan yang diambil, untuk memastikan pihak ibu bapa dan anak-anak selamat kembali bekerja atau ke sekolah," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 14 organisasi untuk profesional penjagaan kesihatan, dan lima pakar kesihatan termasuk Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Kesihatan Persekitaran Malaysia, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia, Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia.

Pada 21 Mac, Kementerian Kesihatan mengeluarkan pekeliling yang menyatakan bahawa beberapa pekerja penjagaan kesihatan yang dijangkiti Covid-19 mungkin dipanggil untuk kembali bekerja awal, sekiranya berlaku "krisis sumber manusia".

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pengarah hospital menggesa agar dasar itu diperkenalkan berikutan kadar ketidakhadiran melebihi enam peratus sejak 4 Mac lalu.

Ia berlaku disebabkan pekerja penjagaan kesihatan yang menjalani kuarantin selepas dijangkiti.

Kementerian telah melonggarkan keperluan kuarantin untuk kontak rapat Covid-19 dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan sebulan sebelumnya, sebelum melonggarkan peraturan untuk kakitangan yang dijangkiti.

Di bawah peraturan baru, pekerja penjagaan kesihatan yang tidak mempunyai gejala menjelang hari kelima selepas positif boleh dipanggil untuk kembali bekerja pada hari keenam. Tiada ujian lanjut diperlukan sebelum kembali bekerja.

Bagi mereka dalam kategori 2 (bergejala, tiada radang paru-paru), mereka mungkin dipanggil semula jika diuji negatif menggunakan ujian RTK-Ag pada hari kelima, tidak mengalami demam tanpa menggunakan ubat penurun demam, dan gejala mereka telah diselesaikan dengan ketara.

Kedua-dua kategori pekerja penjagaan kesihatan dikehendaki mematuhi satu set peraturan, yang antara lain melarang mereka daripada merawat pesakit imunokompromi atau bergaul dengan rakan sekerja mereka sambil membuka pelitup muka.

Mereka mesti memakai peralatan perlindungan yang 'sesuai' di kawasan klinikal kemudahan penjagaan kesihatan.

Walau bagaimanapun, peraturan itu hanya memerlukan mereka memakai pelitup muka pembedahan tiga lapis yang dipasang dengan baik apabila bergaul rapat dengan rakan sekerja mereka, dan bukannya alat pernafasan yang memenuhi piawaian yang lebih ketat.

Khairy memberi jaminan bahawa peraturan baru itu tidak akan menjejaskan keselamatan pesakit, kerana pekerja akan bebas gejala atau telah lulus ujian Covid-19, selain memakai peralatan perlindungan diri.