Skip to main
Logo Malaysiakini

23 kes pencerobohan kapal China di perairan negara direkod tahun lalu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemantauan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati sebanyak 23 kes pencerobohan oleh kapal China pada tahun 2021 di Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Laut China Selatan telah direkodkan.

Dalam jawapan parlimen, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata Pengawal Pantai China (CCG) dikesan berada di perairan negara ini sejak 2013.

"Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menugaskan kapal perang TLDM untuk berada di perairan tersebut secara berterusan dan diselangi dengan penugasan kapal daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengukuhkan hak kedaulatan negara melalui pelaksanaan Operasi SATRIA dan Operasi SINAR SAMUDERA.

"Penugasan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berkala juga membantu dalam aspek pemantauan dan mempertahankan kedaulatan ZMM negara di Laut China Selatan," kata Hishammuddin dalam jawapan kepada kepada Larry Sng (Bebas-Julau).

Kapal China juga sering dikesan berhampiran Luconia Shoals yang terletak dalam ZEE Malaysia di luar pantai Sarawak.

Pada Julai 2020, Jabatan Audit Negara berkata Malaysia merekodkan 89 pencerobohan oleh CCG dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN) di perairan negara antara 2016 dan 2019.

Ketua juruaudit negara juga menyatakan bahawa kerajaan China berulang kali mengabaikan notis bantahan mengenai pencerobohan itu.

Susulan itu, Wisma Putra memanggil duta republik itu untuk menyampaikan bantahan terhadap pencerobohan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia di luar pantai Sabah dan Sarawak.

ZEE sebuah negara merentang hingga 200 meter nautika (370km) ke laut.

Laporan berita pada Julai 2020 memetik Hishammunddin, yang juga menteri luar negeri ketika itu, berkata bahawa tiada kapal pengawal pantai dan tentera laut China ditemui di perairan Malaysia.