Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewan Negara luluskan RUU perbekalan tambahan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2021 sebanyak RM8,413.5 juta.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah setelah dibahas lima senator.

Terdahulu, Mohd Shahar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata ia bukan melambangkan perbelanjaan melebihi apa-apa diluluskan mahupun keperluan tambahan akibat tidak cukup peruntukan.

Sebaliknya, beliau berkata ia lebih kepada menguntukkan lebihan perbelanjaan daripada maksud mengalami ketidakcukupan peruntukan disebabkan perkara tertentu yang memerlukan peruntukan lebih tinggi daripada peruntukan asalnya.

“Antaranya, keperluan mendesak bagi peruntukan subsidi ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia dan kenaikan harga komoditi sawit dunia pada 2021. Maka, kerajaan perlu menanggung kenaikan subsidi ini dan peruntukan yang diluluskan tidak cukup untuk menampung kenaikan berkenaan.

“Selain itu, berikutan bencana banjir, kerajaan juga perlu melaksanakan perbelanjaan tambahan terlebih dahulu bagi membantu mangsa banjir serta membaiki infrastruktur yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

- Bernama