Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kenyataan pemimpin PAS isu tukar agama anak Loh berbaur hasutan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berkata mereka terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS Khairul Nizam Khirudin berhubung penukaran agama sepihak tiga anak Loh Sieh Hong, yang disifatkan mereka sebagai melampau dan berbaur hasutan.

"Amaran keras terhadap tindakan membatalkan penukaran agama anak-anak Loh dilihat merujuk kepada pemohonan yang difailkannya kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan kebenaran mendapatkan pengisytiharan bahawa suaminya tidak layak di sisi undang-undang untuk mengislamkan anak-anak itu.

“Adalah menjadi hak perlembagaan kepada Loh Siew Hong untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan remedi bagi dakwaan pertukaran agama tiga anaknya secara tidak sah oleh si bapa.

"Oleh itu, ini adalah semata-mata perkara sivil antara ibu dan bapa kepada tiga anak itu," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, Khairil menyalahi undang-undang dan melanggar perlembagaan dengan memberi pandangannya mengenai perkara itu dan cuba mengambil alih kuasa mahkamah.

"Dengan memberi amaran kepada Loh, Khairil telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan tertentu Kanun Keseksaan.

“MCCBCHST menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak kenyataan berbaur hasutan dan ancaman "tindakan tegas" itu.

“Sekiranya Khairil mempunyai kepentingan dalam sivil, dia harus memfailkan permohonan untuk campur tangan dan bukan mengancam untuk mengambil langkah di luar kehakiman yang menyalahi undang-undang terhadap tindakan yang sah oleh si ibu.

“Khairil harus menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis yang merupakan undang-undang tertinggi negara dan semua agama tertakluk kepadanya,” kata mereka.

Semalam, peguam Loh menggesa semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu kerana ia boleh mencetuskan kebencian dan menimbulkan ketegangan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

“Kami berpandangan bahawa sebarang bentuk ancaman, secara nyata atau tersirat, malah peringatan sekalipun, yang tidak menggalakkannya daripada meneruskan hak undang-undangnya di mahkamah, adalah sama dengan campur tangan serius terhadap pentadbiran kehakiman dan adalah satu penghinaan jenayah terhadap mahkamah,” katanya.

Peguam Loh, Shamsher Singh Thind dilaporkan berkatasemakan kehakiman itu susulan permohonan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) baru-baru ini yang memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam prosiding perceraian antara Loh dan Nagahswaran.

Sebelum ini, dilaporkan majlis agama negeri itu memohon mendapat akses untuk memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga anak Loh, ketika di bawah jagaan ibu bukan beragama Islam tersebut.

Pada 21 Feb, Loh bertemu semula dengan tiga anaknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Permohonan habeas corpus itu menyasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang ustazah yang menjaga kanak-kanak itu pada satu ketika.

Nagahswaran, yang dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah, telah mengislamkan anak-anak berkenaan secara sepihak iaitu tanpa pengetahuan dan persetujuan Loh.

Ibu tunggal itu memperoleh hak penjagaan penuh anak-anak itu pada Disember tahun lalu.

[Baca berita asal]